PELAN Pemulihan Negara (PPN) yang dirancang kerajaan sejak Jun lalu ternyata telah berjaya membawa sinar yang terang di hujung terowong, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.
Beliau berkata, walaupun ketika itu PPN dipandang sinis malah fasa-fasa dan nilai ambang di dalamnya dipertikai oleh sesetengah pihak namun hari ini tiada lagi negeri yang berada di Fasa 2.
“Saya masih ingat sewaktu Pelan Pemulihan Negara (PPN) diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri, ada yang memandang sinis.
“Tidak kurang yang mempertikaikan pengenalan fasa-fasa dalam PPN dan juga nilai-nilai ambang.
“Hari ini tiada lagi negeri berada di Fasa 2. Putrajaya, Selangor, KL, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Labuan pula telah berada di Fasa 4,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya.
Radzi berkata, kini seluruh rakyat juga sudah diberi kebenaran untuk merengas negeri dan hujung minggu ini sudah tentu ramai yang balik ke kampung untuk melepaskan rindu kepada ibu bapa serta keluarga tercinta.
“Hakikatnya, perancangan yang disusuli dengan usaha gigih semua pihak untuk membawa negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 mula menunjukkan hasil yang jelas.
“Kadar vaksinasi populasi dewasa juga telah mencapai 95 peratus ketika ini. Sesungguhnya kita dapat lihat cahaya yang semakin terang dari hujung terowong,” katanya.
Beliau berkeyakinan dengan usaha berterusan kerajaan dan dokongan seluruh rakyat, negara yang kini menuju fasa endemik akan kembali pulih seperti sedia kala.
“Sama-sama kita doakan agar semuanya berjalan dengan baik dan teratur,” katanya.
Beliau pada pagi semalam turut sama menghadiri mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang sipengerusikan oleh Muhyiddin di Kuala Lumpur. – Edisi 9