
INDUSTRI pelancongan dan hospitaliti antara sektor ekonomi yang paling teruk terjejas ketika pandemik COVID-19 melanda.
Industri ini melalui zaman suram dengan banyak fasiliti pelancongan ditutup atau gulung tikar terus. Akibatnya ramai pekerja hilang pekerjaan.
Pelbagai sekatan yang terpaksa dikenakan oleh kerajaan demi mengekang penularan COVID-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penutupan sempadan negeri dan sempadan antarabangsa menyaksikan industri ini tidak dapat bergerak.
Rantaian kesannya begitu ketara menjejaskan pelbagai sektor. Agensi pelancongan dan pengembaraan (travel and tours), pusat-pusat pelancongan, inap desa serta hotel bagaikan lumpuh.
Ekoran itu ramai pekerja sektor pelancongan melalui zaman gelap apabila ditamatkan perkhidmatan.
Kini setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuh dan sektor ekonomi serta sempadan negara dibuka sepenuhnya sejak 1 April lalu, ia telah merancakkan kembali industri pelancongan.
Pelancongan dalam negeri semakin aktif, kemasukan pelancong asing semakin rancak. Terima kasih Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus menggesa kerajaan membuka sempadan negara sejak Oktober 2021 lagi.
Tetapi dalam perkembangan memberangsangkan ini, sektor yang suatu ketika terpaksa membuang pekerja, kini kekurangan pekerja pula, baik di hotel, atau fasiliti pelancongan yang lain, juga makanan dan minuman.
Sehingga kini, kebanyakan pengusaha hotel masih lagi berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja yang mana boleh merencatkan proses pemulihan perniagaan jika masalah ini tidak diatasi dengan segera.
MPN telah sering kali menggesa kerajaan supaya mempercepatkan dan mempermudahkan proses permohonan pekerja asing terutamanya sektor-sektor kritikal seperti perladangan, pelancongan dan pembuatan.
Kekurangan tenaga kerja ini mampu merencatkan proses pemulihan sektor-sektor yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19.
MPN juga telah beberapa kali menggesa kerajaan mempercepatkan proses dan usaha pemulihan sektor pelancongan serta merangka inisiatif serta bantuan bagi memacu semula sektor pelancongan yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada KDNK negara.
Mengimbas kembali ketika awal pandemik, Pengurus Mtree Hotel, Ahmad Mahir Hussin berkata, pihaknya tidak terkecuali berhadapan cabaran dan kesukaran di mana perniagaan perhotelan agak merundum dalam tempoh enam ke tujuh bulan pertama ketika itu.
“Bagaimanapun, selepas sempadan dibuka perniagaan dilihat beransur pulih dan meningkat daripada 40 peratus sehingga 70 peratus,” katanya ketika ditemui Edisi 9.

Katanya, berkat bantuan daripada kerajaan yang memahami cabaran yang dihadapi penguasaha hotel dengan pemberian bantuan Program Subsisdi Upah, dapatlah sedikit sebanyak membantu dan kebajikan pekerja dapat dijaga.
“Saya berterima kasih dengan kerajaan kerana prihatin dengan kesusahan yang dialami oleh kami dalam industri pelancongan. Bagaimanapun, dalam fasa pemulihan ini, banyak lagi yang perlu lakukan.
“Contohnya, sekira ada penambahbaikan dari segi pemberian diskaun oleh kerajaan kepada kami dalam perbaharui lesen atau utiliti berkaitan sangatlah memberi kebaikan kepada kami untuk jangka tempoh pemulihan ini dan seterusnya dapatlah meringankan sedikit beban.
“Tidak kurang juga, kerajaan perlu mencari jalan bagaimana untuk membantu sektor ini dari segi masalah tenaga kerja.
“Mahu tidak mahu, cabaran besar ini mesti diatasi oleh kerajaan dalam membantu industri perhotelan atau fasiliti pelancongan.
“Sekolah-sekolah perhotelan boleh diberi kepada kita dan bantu industri ini. Banyak sekolah perhotelan di seluruh negara malah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta juga ada menawarkan kursus-kursus dalam bidang perhotelan dan pelancongan. Sedikit sebanyak dengan kerjasama semua pihak, mampu untuk memulihkan semula sektor ini dari segi tenaga kerja,” katanya.
Pendapat yang sama turut dikongsikan, Pengarah Operasi Movenpick Hotel KLIA, Azrule Abdul Aziz, yang mahu satu mekanisme secara optimum dapat dilaksanakan untuk menggalakkan semula sektor perhotelan negara.
Kata beliau, isu kekurangan tenaga kerja memberi impak besar terhadap sektor perhotelan sejak pandemik COVID-19 melanda negara kerana ada kakitangan berhenti kerja dan ada yang ditamatkan khidmatnya.
“Pihak hotel juga memang ada mengalami masalah kakitangan dan dalam masa singkat pihak hotel perlu mengambil pekerja sambilan.
“Industri perhotelan ini tidak sebesar mana, dan industri ini mempunyai rangkaian sendiri. Bahagian sumber manusia tahu bagaimana mengenal pasti pekerja yang layak. Maksudnya, ramai lagi pekerja hotel berpengalaman dan berkaliber, sepatutnya boleh dipanggil semula di waktu negara membuka semula sempadan.

“Cadangan menggumpul pencari kerja yang dilaksanakan kerajaan ketika ini bagus, namun untuk tawarkan kembali pekerjaan dalam tempoh yang singkat perlu ditambah baik lagi.
“Pendek kata, setiap faedah harus direalisasikan kepada orang yang memerlukan secara optimum dan mudah, jangan merumitkan. Oleh demikian, kerajaan harus telitikan lagi mekanisme bagaimana yang boleh disalurkan,” katanya yang memberitahu operasi perniagaan juga turut terjejas ketika penutupan sempadan.
Bagaimanapun, operasi dapat selamatkan dengan bantuan kerajaan dengan menjadikan Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA (Movenpick) sebagai lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Dalam pada itu isu premis Airbnb dan premis penginapan lain yang tidak berdaftar turut dibangkitkan dalam kalangan pengusaha hotel.
Menurut wakil Hotel Golden View Nilai, Wan Muhammad Hisyam Wan Juhari, isu premis Airbnb perlu juga diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
“Kerajaan mahupun Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu kaji semula premis-premis Airbnb ini yang mana sememangnya memberi persaingan kepada industri perhotelan dan jelas memberi kesan kepada sektor ini.

“Sehubungan dengan itu, MPN perlu rangka semula undang-undang khas untuk premis Airbnb supaya dapat dikawal selia. Ini bagi membolehkan industri ini dapat sama-sama berkembang dan beroperasi secara optimum,” katanya yang berhadapan dengan kerugian perniagaan sekitar 80 peratus diawal pandemik.
Selain pengusaha hotel terjejas dari segi operasi perniagaan, tidak kurang pengusaha inap desa, Zulkefli Mohd Isa yang turut mengalami impak yang sama.
Hampir tiada tempahan langsung hingga terpaksa menukar status inap desa kepada rumah sewa, antara situasi dihadapi pengusaha penginapan itu akibat pandemik COVID-19.
Berkongsi pengalaman sukarnya Zulkefli berkata, banyak sebenarnya inap desa telahdi tutup bermula pada tahun 2020, di awal pandemik dan ditambah penguatkuasaan PKP oleh kerajaan.
“Bila PKP, memang orang luar nak datang menginap di homestay tidak ada. Disebabkan itulah banyak homestay terpaksa gulung tikar, dan tidak kurang dijadikan rumah sewaan.

“Saya juga tidak terkecuali berhadapan dengan impak yang sama. Tiada pengunjung datang buat tempahan dan situasi itu sangat ketara dalam tempoh enam bulan. Yang ada tempahan pun hanya mereka yang bekerja di sini, sewa harian memang tidak terima,”katanya.
Menurutnya, dalam tempoh enam bulan dari sekarang, usaha menghidupkan kembali industri berkenaan dilihat agak perlahan, selain memerlukan masa.
“Kebanyakan homestay dijalankan secara persendirian. Apabila terjejas waktu PKP, memang kami tiada saluran mendapatkan bantuan, dan kesemuanya perlu dibayar sendiri cuma bantuan yang diterima adalah moratorium yang sedikit sebanyak dapatlah bantu kami buat ansuran pembayaran rumah,” katanya. – Edisi 9