Tuesday, July 21, 2026

Peraturan media sosial bawah 13 tahun mampu bantu ibu bapa

Tidak semua ibu bapa memiliki literasi media dan pengetahuan mendalam tentang algoritma media sosial, yang berfungsi berdasarkan tontonan dan bukannya umur pengguna.

Mesti Baca

BAHAGIAN 3/3

CADANGAN pelaksanaan peraturan baharu penggunaan media sosial termasuk larangan kepada kanak-kanak bawah 13 tahun serta verifikasi umur disifatkan sebagai langkah tepat dalam usaha melindungi generasi muda daripada kesan negatif dunia digital.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Dr Mumtaz Aini Alivi berkata, ibu bapa tidak lagi boleh dipertanggungjawabkan secara tunggal untuk mengawal aktiviti anak-anak di media sosial kerana perkembangan teknologi terlalu pantas dan mesej tidak ditapis sukar dibendung.

“Usaha ini perlu bersepadu. Satu pihak sahaja iaitu ibu bapa tidak memadai. Teknologi bergerak pantas, mesej-mesej yang tidak ditapis sukar dihentikan dan akan muncul pelbagai cara.

“Sebagai contoh dalam bentuk iklan yang tiba-tiba muncul di mana pengguna secara tidak sedar boleh klik dan terarah ke dalam web yang tidak sepatutnya,” katanya kepada Edisi 9, baru-baru ini.

Menurut Mumtaz Aini, tidak semua ibu bapa memiliki literasi media dan pengetahuan mendalam tentang algoritma media sosial, yang berfungsi berdasarkan tontonan dan bukannya umur pengguna.

“Tekanan hidup dan kesibukan tugas ibu bapa di zaman yang serba mencabar ini memerlukan sokongan yang lebih besar untuk membantu mereka dalam hal ini.

“Kadang-kala mereka sendiri mungkin tidak sedar mengenai platform yang direka untuk mengelirukan mereka seperti autoplay, iklan dan lain-lain. Oleh itu jika ada sekatan seperti ini tentu akan membantu para ibu bapa daripada memikul sepenuhnya tanggungjawab tersebut,”katanya.

Beliau turut menambah, berbeza dengan keadaan dahulu, ibu bapa tidak terlalu bimbang membenarkan anak-anak bermain di luar rumah.

Namun, faktor jenayah dan keselamatan pada masa kini menyebabkan ramai kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah dan terpaksa membenarkan anak-anak mereka bermain dengan telefon bagi mengelak kebosanan.

“Tetapi mereka tidak sedar sebenarnya tindakan ini mempunyai bahaya tersembunyi yang kesannya mungkin lebih dahsyat lagi untuk jangka panjang,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan