
BAHAGIAN 2/3
PENDEDAHAN awal terhadap media sosial memberi banyak kesan negatif kepada kanak-kanak di bawah usia 13 tahun termasuk masalah kesihatan mental, gangguan tidur serta kecenderungan menjauhkan diri daripada persekitaran sosial sebenar.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Dr Mumtaz Aini Alivi berkata, kajian-kajian saintifik jelas menunjukkan wujud perkaitan positif antara penggunaan media sosial dengan keresahan, kemurungan, emosi tidak stabil serta tumpuan yang mudah terganggu dalam kalangan kanak-kanak.
“Penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak akhirnya akan mencorak sikap mereka dan cara mereka berkomunikasi. Ada yang lebih suka hidup di alam maya dan menjauhkan diri daripada masyarakat sekeliling. Ini sesuatu yang agak membimbangkan,” katanya ketika dihubungi Edisi 9 baru-baru ini.
Menurut beliau, ketagihan terhadap media sosial turut menjejaskan pola tidur kerana kanak-kanak terdedah kepada kandungan visual yang laju dan dramatik serta gangguan melatonin dalam badan.
Katanya, pergaulan mereka juga akan terbatas kerana lebih menumpukan perhatian terhadap skrin berbanding aktiviti riadah yang lebih sihat untuk kesihatan mereka.
“Kanak-kanak juga mungkin akan mengalami masalah kesihatan yang lain seperti mata yang letih dan sakit kepala kerana terlalu lama bermain di skrin,” katanya.

Mumtaz Aini menambah, kanak-kanak juga mudah meniru tingkah laku tidak sesuai termasuk keganasan serta penggunaan bahasa kesat kerana mereka belum matang untuk berfikir secara kritikal terhadap bahan tontonan.
Mengulas sama ada langkah sekatan mampu menghalang pendedahan kepada kandungan dewasa seperti pornografi dan judi dalam talian, beliau menjelaskan bahawa usaha tersebut hanya berkesan sebahagiannya.
“Dalam dunia digital tanpa sempadan, sukar untuk mengawal perkara ini. Kanak-kanak zaman kini semakin celik IT dan memalsukan maklumat. Dengan pengawasan yang ketat daripada ibu bapa, ini mungkin boleh dikurangkan tetapi tidak sepenuhnya dikekang,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, ibu bapa zaman sekarang lebih suka membenarkan anak-anak mereka mengakses media sosial kerana itu salah satu cara untuk membuatkan kanak-kanak tersebut khayal dan tidak mengganggu ibu bapa yang mungkin sibuk dengan urusan lain.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab ibu bapa amat penting kerana ada yang hanya menyedari anak mereka terdedah kepada kandungan tidak sesuai selepas melihat perubahan sikap atau menerima caj langganan dalam talian yang dibuat tanpa sedar oleh anak-anak.
“Pendidikan digital dan kesedaran ibu bapa perlu diperkukuhkan agar kanak-kanak benar-benar dilindungi daripada bahaya dunia maya,” katanya. — Edisi 9

