30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Saringan COVID-19, vaksinasi bantu klinik swasta ‘bernafas’

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEJAK fasa awal pandemik COVID-19 ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bekerjasama dengan sektor kesihatan swasta iaitu hospital, klinik dan makmal swasta bagi menghadapi peningkatan kes.

Kerjasama ini bertujuan antara lain bagi mengoptimakan sumber dan kemudahan kesihatan sedia ada dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan dapat disediakan untuk rakyat.

Hasil cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN), KKM telah memberi kelulusan untuk sektor swasta turut sama terlibat dalam proses saringan COVID-19 termasuk kinik perubatan swasta.

Fasiliti kesihatan swasta seperti di atas juga dibenarkan untuk menjalankan proses pengujian sampel di fasiliti itu sendiri bergantung kepada keupayaan dan kemudahan yang tersedia di tempat pengambilan sampel dan juga jenis saringan yang dijalankan (RTK Ag/RT-PCR).

Ia sedikit sebanyak dapat membantu pengoperasian klinik swasta di seluruh negara terus berjalan daripada ‘gulung tikar’.

Ini kerana, dilaporkan ba­nyak klinik dan hospital swasta di seluruh negara mencatatkan penurunan kehadiran pesakit antara 70 hingga 80 peratus.

Situasi itu turut dihadapi Klinik Salam Prima Saujana yang mengalami penurunan kehadiran pesakit sekitar 50 peratus.

Menurut Dr Arham Zakaria, di awal pandemik, pengoperasian klinik agak perlahan kerana kadar kehadiran pesakit berkurangan.

“Ini disebabkan ramai tidak bekerja, mereka duduk di rumah dan tidak mengalami simptom penyakit mengakibatkan tidak datang ke klinik.

“Perniagaan terjejas sekitar 50 peratus dan situasi itu berlaku pada peringkat penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dan PKP kedua,” katanya ketika ditemui Edisi 9.

laporan khas-mpn
DR ARHAM ZAKARIA

Bagaimanapun, katanya, bantuan daripada kerajaan dan KKM dengan membenarkan fasiliti kesihatan swasta dalam turut sama terlibat dalam proses saringan COVID-19, sedikit sebanyak membantu pengoperasian klinik.

“Untuk fasa permulaan klinik ini mengambil lapan pesakit sehari dan jumlah kemudiannya terus meningkat atas keupayaan klinik sendiri, sehinggalah klinik menampung 20 penerima vaksinasi dalam sehari.

“Apabila sempadan dan ekonomi dibuka, secara tidak langsung pengoperasian dan perniagaan klinik pulih seperti biasa, malahan fasiliti kesihatan swasta juga dilihat tumbuh bagai cendawan, impak daripada kepentingan sektor kesihatan ini dalam menangani pandemik,”katanya.

Untuk penambahbaikan dari segi pengurusan, beliau yang berpengalaman sebagai pengamal perubatan selama tujuh tahun berkata, mungkin dari segi cadangan kerajaan boleh menambahbaik pengurusan penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke fasiliti kesihatan swasta selain promosi fasiliti kesihatan swasta.

“Kerajaan juga boleh memberi subsidi dari segi pembayaran yang secara tidak langsung dapat mengurangkan bilangan pesakit yang terlalu padat di klinik-klinik kesihatan kerajaan.

“Kalau dapat lihat masa menunggu pun agak lama, apatah lagi pesakit luar. Ini semua bagi menangani masalah kepadatan pesakit termasuklah pesakit luar di klinik kesihatan,”katanya.

Pandangan yang sama turut dikongsikan Dr Surayya Hani Samsul Bahar dari Klinik Kami, yang melihat sektor kesihatan swasta turut memainkan peranan yang penting dalam memberi bantuan sumber perubatan dan tenaga kerja.

Katanya, sememangnya kerajaan ada membantu fasiliti kesihatan swasta dalam memastikan perniagaan kami terus berjalan.

“Seperti Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), inisiatif kerajaan melalui KKM yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) di samping khidmat proses saringan COVID-19 serta vaksinasi.

laporan khas-MPN
DR SURAYYA HANI SAMSUL BAHAR

“Bantuan yang diterima sedikit sebanyak boleh memberi nafas lega kepada klinik untuk terus bertahan,” katanya yang memberitahu Klinik Kami baharu sahaja dibuka pada Jun 2021 bagaimanapun, perniagaan turut terjejas dalam tempoh enam bulan pertama.

Kata beliau, secara umumnya klinik swasta ini adalah satu perniagaan kepada pelanggan, yakni pesakit.

“Jadi, kerajaan wajar membantu fasiliti kesihatan swasta ini, dengan pengecualian cukai, membantu dari segi promosi dan lebih banyak kerjasama klinik kerajaan serta swasta.

“Masalah-masalah seperti pembekalan ubat-ubatan perlu juga ditangani. Seperti tahun ini perkara itu sangat terjejas.

“Jika ketika pandemik, bekalan ubat-ubatan banyak sebab pesakit kurang, tetapi ketika musim influenza ditambah pula dengan pembukaan semula sempadan bekalan ubat terjejas teruk sehinggakan kita tidak dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

“Untuk keseluruhannya, kerajaan perlulah lakukan penambahbaikan supaya segala aspek dalam sektor kesihatan ini dapat ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan