34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Terima kasih KPM, bersama harungi cabaran pandemik Covid-19

Pendidikan merupakan wadah utama negara dan menggenggam amanah melahirkan generasi pewaris negara yang berketerampilan serta berdaya saing yang mampu mencorak masa depan generasi berikutnya.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin menzahirkan terima kasih kepada warga Kementerian Pendidikan (KPM) kerana bersama-sama mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

Radzi berkata, warga KPM banyak membantunya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pendidikan, khususnya dalam tempoh sukar ketika pandemik Covid-19 dan tempoh pemulihan negara.

“Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya. Tidak ada siapa pun antara kita yang pernah melalui situasi sukar sedemikian.

“Namun, berkat kesungguhan, kecekalan serta kerjasama seluruh keluarga besar KPM, tidak terkecuali murid dan ibu bapa, kita semua dapat melalui tempoh sukar tersebut dengan baik.

“Sesukar manapun cabaran, kita harungi dan ikhtiarkan yang terbaik demi kesejahteraan anak-anak dan warga pendidikan. Kenangan ini akan sentiasa tersemat dalam ingatan saya,” katanya dalam Facebook hari ini.

Beliau berkongsi hantaran berkenaan selepas bersama-sama warga KPM dalam majlis minum petang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang semalam.

Ujar Radzi lagi, pendidikan merupakan wadah utama negara dan menggenggam amanah melahirkan generasi pewaris negara yang berketerampilan serta berdaya saing yang mampu mencorak masa depan generasi berikutnya.

“Tanpa sahabat-sahabat semua, sama ada di jabatan mahupun di sekolah, kaburlah masa depan negara. Jasa, masa dan tenaga yang anda curahkan amat saya sanjungi. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

“Harapan saya hanyalah mahu Kementerian Pendidikan ini apabila disebut namanya, semua orang akan hormat dan memberikan kepercayaan sepenuhnya dalam memastikan ekosistem pendidikan negara berada ditahap tinggi dan gemilang.

Menurutnya, itu semua adalah cabaran dan amanah yang perlu dipikul bersama.

“Saya adalah anak rantau. Singgah di KPM adalah sebahagian daripada sejarah perjalanan hidup saya sebelum meneruskan langkah seterusnya.

“Momen kita bersama adalah amat indah, sukar diperjelaskan perasaan ini. KPM adalah sebuah keluarga besar, menyimpan beribu kenangan dan mengajar berjuta pengalaman,” katanya.

-EDISI9 

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan