33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Bukti Pelan Pemulihan Negara di landasan betul – Muhyiddin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kejayaan negara mencapai 80 peratus populasi dewasa yang lengkap menerima vaksin COVID-19 hari ini membuktikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirancang kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini berada di landasan yang betul.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini juga menunjukkan kejayaan perancangan pembelian vaksin oleh Malaysia yang merupakan antara negara terawal di Asia memeterai perjanjian dengan beberapa pembekal vaksin pada skala besar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, hubungan baik Malaysia di peringkat antarabangsa juga memberi manfaat apabila negara menerima sumbangan vaksin melebihi 5 juta dos dari Jepun, Arab Saudi, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Alhamdulillah seperti yang dirancang oleh Kerajaan PN, kita berjaya mencapai sasaran 80 peratus dewasa lengkap divaksinasi hari ini. Ini bermakna, lebih 40 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia.

“Saya merasa teruja dan bangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi kejayaan ini dicapai sebulan lebih awal dari yang telah kita jadualkan,” katanya mengulas kejayaan tersebut hari ini.

PPN yang dirancang dan dilaksanakan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada Ogos lalu, sebelum meletakkan jawatan susulan tindakan 15 anggota Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau dan kerajaan PN.

Bagaimanapun, PPN yang dirancang itu diteruskan di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan hasilnya sudah kelihatan hari ini.

Muhyiddin berkata, seperti yang sering beliau ingatkan, strategi kerajaan sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu adalah jelas iaitu mahu seramai mungkin rakyat menerima vaksinasi lengkap.

“Lebih ramai divaksin, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan COVID-19, lebih cepat kita membentuk imuniti kelompok. Ini sekali gus mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan awam dan melancarkan proses pemulihan ekonomi,” katanya.

Beliau yang menjawat jawatan Perdana Menteri selama 17 bulan sejak Mac 2020 hingga 16 Ogos lalu berkata, tumpuan kini perlu diberikan kepada negeri yang masih rendah kadar vaksinasinya agar proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Di Sabah misalnya, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa paling rendah ketika ini dengan hanya 53.7 peratus. Negeri lain seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang masih di bawah 60 peratus,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berharap sasaran 80 peratus remaja menerima vaksin lengkap sebelum sesi persekolahan 2022 bermula dapat dicapai susulan penubuhan Pasukan Bertindak Immunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A).

CITF-A itu ditubuhkan untuk memastikan remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula menerima vaksin dan setakat ini lebih 85,000 remaja telah menerima vaksinasi lengkap.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan untuk memberikan suntikan penggalak (booster) seawal Oktober bulan depan terutamanya untuk petugas barisan hadapan yang lebih banyak terdedah kepada risiko virus tersebut.

“Saya juga mengalu-alukan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) diumumkan Perdana Menteri untuk golongan B40. Pembelian alat pulse oxymeter untuk menyukat kadar oksigen pesakit telah diluluskan oleh Kerajaan dalam Sidang Khas COVID-19 Majlis Keselamatan Negara sebelum ini.

“Pemberian PPC yang berjumlah RM471.6 juta ini menunjukkan kesinambungan Kerajaan Prihatin yang peka kepada keperluan rakyat terutamanya golongan rentan.

“Saya berharap pakej bantuan ini dapat disegerakan dan sampai kepada golongan sasar mengikut perancangan demi kemaslahatan rakyat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan