28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Nilai pelaburan diluluskan lebih tinggi tahun ini

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Kewangan menjangka nilai pelaburan yang diluluskan tahun ini adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu berikutan pemulihan ekonomi negara dan keberkesanan pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat suku kedua tahun ini, hampir RM100 bilion nilai pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

Beliau juga yakin bahawa tahap pelaburan lebih tinggi mampu dicapai menjelang akhir tahun ini termasuk pelaburan langsung asing (FDI).

“Tahun lalu, Malaysia berjaya mencatat jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion walaupun mendepani cabaran wabak global dengan pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 60.9 peratus (RM99.8 bilion) dan FDI meningkat 39.1 peratus (RM64.2 bilion).

“Keutamaan kini ditumpukan kepada pelaburan bernilai tinggi di bidang baharu seperti teknologi tinggi, teknologi hijau, industri solar, kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui sebagai usaha meningkatkan kebolehupayaan pekerja Malaysia,” katanya dalam Laporan LAKSANA ke-58 yang dikeluarkan, hari ini.

Tengku Zafrul menambah, ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang semakin meningkat, dan paras ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) dipenuhi untuk pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih meluas.

Mengenai S&P Global Ratings (S&P) yang mengesahkan semula penarafan kredit kedaulatan mata wang asing dan mata wang tempatan jangka panjang Malaysia pada ‘A-‘ dan ‘A’ dengan tinjauan negatif, beliau memberitahu, pengesahan itu membuktikan kedudukan luaran negara yang kukuh, fleksibiliti dasar monetari, rekod menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan ketahanan ekonomi pada masa yang tidak menentu yang diiktiraf.

Tengku Zafrul menjelaskan, ia menunjukkan keyakinan S&P terhadap Malaysia di tengah-tengah tekanan penilaian kredit yang belum pernah terjadi sebelumnya di peringkat global, yang mana kira-kira 20 peratus daripada semua penarafan hutang dengan prospek negatif pada akhir 2020 telah diturunkan oleh tiga agensi penarafan kredit utama setakat ini.

Berhubung aspek pengekalan dan penjanaan pekerjaan, beliau menyatakan, kerajaan telah memperkenalkan Program KerjayaGig melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menggalakkan individu untuk mengambil peluang dalam bidang pekerjaan tidak formal atau kerjaya ekonomi gig.

Menurut Tengku Zafrul, program itu menawarkan insentif bulanan sebanyak RM600 bagi individu selagi mana mereka terbabit dengan pekerjaan sendiri/gig sehingga enam bulan.

Beliau menambah, insentif berjumlah RM200 secara one-off pula akan ditawarkan kepada organisasi, platform atau pertubuhan bagi setiap pengambilan pekerjaan sementara atau gig yang berdaftar dengan PERKESO.

“Golongan yang layak menerima insentif ini adalah pekerja formal yang diberikan notis cuti tanpa gaji, individu yang kehilangan pekerjaan yang berdaftar dengan PERKESO mahupun pencari kerja dari golongan rentan, seperti golongan hilang upaya, ibu tunggal, ketua keluarga berkemampuan yang berdaftar dengan e-Kasih, gelandangan dan sebagainya.

“Program ini adalah pemerluasan skop insentif Pengambilan Pekerja di bawah PenjanaKerjaya 2.0 yang juga menyediakan pelbagai insentif seperti Malaysianisation, yang mana 40 peratus daripada gaji bulanan akan dibayar kepada majikan (dengan kadar maksimum insentif sebanyak RM4,000) dan insentif tambahan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan atau RM500 minimum dibayar terus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing,” jelasnya.

Menyentuh program latihan dan kemahiran semula, Tengku Zafrul memberitahu, setakat 11 Jun lalu, seramai 143,309 peserta telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program yang disediakan.

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan