26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Landasan betul tangani pandemik COVID-19 – Nasrudin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mencerminkan keyakinan kerajaan yang melihat negara ini di landasan yang betul dalam menangani pandemik COVID-19, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, pelan tersebut yang memperincikan rancangan kerajaan secara berfasa diyakini mampu membawa keluar negara ini daripada pelbagai kemelut akibat pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini.

Menurut Nasrudin, YADIM melihat usaha tersebut sebagai satu langkah yang perlu disokong oleh semua agar rakyat negara ini dapat kembali menjalani hidup sejahtera dan normal sebagaimana biasa.

“Sokongan yang dimaksudkan ialah dengan semua kita penghuni negara Malaysia tercinta dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta arahan-arahan semasa oleh pihak kerajaan, sama ada daripada pihak Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mahupun arahan langsung daripada Perdana Menteri.

“YADIM percaya semua langkah yang diambil kerajaan untuk menangani ancaman ini telah diteliti dan dibincangkan secara mendalam, lebih lebih lagi apabila menyentuh tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan, strategi Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan kerajaan merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Beliau menjelaskan, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Nasrudin memberitahu, langkah tersebut memang sukar sebagaimana dimaklumkan Perdana Menteri, malah dari sudut ekonomi, Malaysia kehilangan RM1 bilion sehari sepanjang PKP dilaksanakan.

Namun, tambah beliau, semua pihak perlu berlapang dada, bersabar dan tidak berputus asa kerana kesukaran yang ditempuh ketika ini adalah untuk kesejahteraan kita pada masa akan datang.

“Tindakan pencegahan dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan pada masa kini sebetulnya direkodkan pernah berlaku dalam sejarah Islam.

“Menurut catatan sejarawan terkemuka, Ibn al-Athir, pada 1048, penularan (pandemik) penyakit pernah melanda Mekah, Iraq, Palestin dan Sham.

“Imam al-Zahabi dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ meriwayatkan sekitar 1055, peristiwa itu menyebabkan masjid ditutup dan tidak didirikan solat berjemaah di masjid,” jelasnya.

Nasrudin memberitahu, dalam usaha memelihara nyawa, seperti membendung penularan pandemik COVID-19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan PKP adalah merupakan pengaplikasian prinsip maqasid syariah oleh kerajaan.

Menurut beliau, sewajarnya usaha itu disokong oleh semua pihak, sehingga tiada yang menangguk di air keruh dan mahu mengambil kesempatan pada saat negara dan rakyat dilanda musibah.

“Selayaknya kita semua bersama kerajaan membendung penularan wabak ini untuk kemaslahatan bersama.

“Percayalah, dalam setiap kesukaran yang kita alami itu, pasti ada kesenangan atau kemudahan selama mana kita terus komited dengan langkah ikhtiari dan bertawakal kepada Allah SWT,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan