LONDON – Fenomena Pukkimania yang dicetuskan oleh Teemu Pukki menyebabkan jersi skuad kebangsaan Finland bagi kejohanan Euro 2020 habis dijual di seluruh United Kingdom (UK).
Situasi luar biasa itu adalah lanjutan fenomena yang dicetuskan oleh penyerang Finland berkenaan di Norwich City.
Memetik laporan Eastern Daily Press, ramai peminat Pukki yang berasa hampa apabila jersi Finland kehabisan stok di Sports Direct dan Nike manakala JD Sports hanya mempunyai baki jersi saiz kanak-kanak.
Jersi tersebut dijual pada harga £70 pada awal tahun ini.
Penyokong-penyokong Canaries telah memborong habis jersi Finland sebagai tanda sokongan mereka terhadap Pukki yang beraksi mewakili negaranya.
Kerjasama antara kelab itu dan Persatuan Bola Sepak Finland juga membolehkan penyokong membeli kit jersi negara berkenaan pada harga diskaun 10 peratus.
Stok baharu jersi yang memaparkan nama dan nombor Pukki dianggarkan berharga kira-kira £110 termasuk diskaun.
Seorang pengumpul jersi Norwich City, Billy Pointer berjaya mendapatkan jersi yang dipakai oleh Pukki semasa pusingan kelayakan Euro 2020 melalui Ebay.
“Ramai orang cuba membeli replika jersi dari pelbagai negara atas sebab tersendiri.
“Saya tidak fikir terdapat banyak jersi Finland, begitu juga dengan Norway yang juga laku habis sebab nama Tettey di belakangnya.
“Saya percaya ramai yang membelinya adalah penyokong Norwich City dan ia agak menarik untuk dipakai dan dimiliki.
“Menariknya, disebabkan kejohanan Euro 2020 sepatutnya berlangsung tahun lepas dan mereka sepatutnya memakai jersi yang saya beli, tetapi kerana kejohanan itu ditunda, mereka memakai jersi baharu,” katanya.
Jersi kebangsaan yang dipakai oleh bintang-bintang Norwich City, Prezemyslaw Placheta dan Grant Hanley yang juga beraksi dalam Euro 2021 masih lagi ada stok.
Namun, penyokong-penyokong Canaries yang ingin menunjukkan sokongan terhadap mereka dalam Euro 2021 perlu berbelanja besar kerana jersey Poland dijual pada harga £70 dan jersi Scotland pada harga £65.
Mereka yang ingin menyokong Tim Krul pasti berasa hampa kerana jersi penjaga gol Belanda tidak dijual secara komersial. – EDISI 9