CYBERJAYA – Perbincangan Khas Majlis Khas Raja-Raja Melayu esok akan membincangkan pandangan-pandangan yang telah dikemukakan dalam sesi menerima menghadap pemimpin-pemimpin politik bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang bermula 8 Jun hingga hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, selain itu beberapa pakar dari agensi-agensi kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah telah menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara.
“Perlu diperjelaskan bahawa sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka dan berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh Darurat.
“Selain para pemimpin politik, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Ariffin Zakaria di Istana Negara hari ini,” katanya. – Edisi 9