27.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 23, 2021

4 fasa Pelan Pemulihan Negara, 3 indikator ambang utama

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Strategi Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan kerajaan merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Indikator Pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.

“Indikator Kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

“Indikator Ketiga ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya ketika membentangkan Strategi Pelan Pemulihan Negara secara langsung hari ini.

Pelan Pemulihan Negara

Menurut beliau, pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP Menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Muhyiddin memberitahu, kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua PKP setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Beliau menambah, Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.

“Semasa Fasa Kedua, aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

“Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor.

“Aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, penambahan sektor senarai positif semasa Fasa 2 termasuk aktiviti pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.

Baca juga:   Kes baharu naik mendadak, Selangor kena PKP menyeluruh?

Menurut beliau, semasa Fasa 2, dengan pendekatan senarai positif, masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.

Baca juga:   Lelongan Paint Your dUCK sokong petugas perubatan

Fasa Ketiga pula, kata Muhyiddin, melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

“Kita boleh beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang atau threshold berikut, iaitu purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.” ujarnya.

Beliau menyatakan, nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos 2021.

“Semasa Fasa Ketiga ini, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian.

“Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti Fasa Kedu dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, yntuk Fasa 3, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan had kapasiti.

Beliau menjelaskan, senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan.

“Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi,” ujarnya.

Beliau juga memberikan komitmen bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa 3 iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

Baca juga:   Lelongan Paint Your dUCK sokong petugas perubatan

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.

“Saya akan terus mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19,” tegasnya.

Muhyiddin berkata, dari Fasa Ketiga, negara akan dapat beralih ke Fasa Keempat sekiranya berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Baca juga:   MPN garis 5 tema utama pelan tangani impak COVID-19

Beliau memberitahu, berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021.

“Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.

“Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat,” jelasnya.

Kata Muhyiddin, fasa itu dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.

“Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik di mana sekiranya kita berjaya dalam tiga indikator utama pada mana-mana fasa, kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke fasa seterusnya,” ujarnya.

Menurut beliau, kesemua SOP bagi fasa-fasa yang saya sebutkan tadi akan diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diumumkan dalam masa terdekat. – EDISI 9

Terkini

PRN Melaka: PN mungkin bertanding di semua 28 kerusi

PERIKATAN Nasional (PN) berkemungkinan besar akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri...

Lagi Artikel Berkaitan