25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Gara-gara gambar ‘tutup pintu depan’ Ismail Sabri

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh WAN KHAIRUL IHSAN WK

SAYA memerhati pelbagai andaian dan telahan yang dibuat oleh warganet dan juga orang politik apabila tular satu hantaran gambar oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang menutup pintu.

Keterangan gambar yang mudah “Saya dah tutup pintu depan tapi… (emoji sedih)” menjadi satu fenomena dan mengundang pelbagai persepsi positif dan negatif.

Saya cukup yakin bahawa hantaran tersebut hanya untuk menjelaskan bahawa beliau telah menjalankan tanggungjawab beliau apabila tular berkaitan kilang Carlsberg yg dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mana jelas kilang tersebut bukan dalam senarai perkhidmatan perlu walaupun ia di bawah sektor makanan dan minuman yang dibenarkan.

Bagi Ismail Sabri, ia adalah prinsip yang perlu dipegang dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Kanan Pertahanan dan satu-satunya jurucakap kerajaan yg akan berdepan pelbagai cacian dan makian rakyat yang tidak bersetuju.

Masalah ini tidak besar pun. Ia hanya soal prinsip dan soal keputusan yang akhirnya akan ditentukan oleh kerajaan.

Dalam apa jua keadaan, kita mungkin boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Itu prinsipnya. Bukan soal persengketaan dan jauh sekali perbalahan seperti sengaja dimainkan oleh sesetengah media digital yang kita tahu dibayar untuk mewujudkan satu peperangan besar dalam kalangan menteri Kabinet.

Sedangkan ia satu situasi biasa antara menteri-menteri yang boleh berbeza pendapat dan akhirnya satu keputusan kolektif bakal dipersetujuai atau dicapai.

Tangan-tangan jahat yang sengaja mengadu-domba seperti berita kononnya Ismail Sabri akan meletakkan jawatan juga kita tahu dari mana dan pihak mana.

Soalnya ialah bagaimana kita mahu melandaikan lekok jangkitan wabak Covid-19. Asas kepada sekatan pergerakan atau lockdown adalah untuk kerajaan meminimumkan pergerakan rakyat dan pekerja yang bekerja dalam sektor-sektor bukan perlu.

Kerajaan mensasarkan 13.5 juta pekerja akan bekerja dari rumah. Ia boleh berlaku jika sektor-sektor terkait ditutup untuk 14 hari pertama ini.

Ini merupakan formula asas untuk memastikan tiada jangkitan baharu untuk membolehkan sistem kesihatan kita kembali kepada bawah 40 peratus berbanding sekarang, keupayaan hospital dan pusat-pusat kuarantin yg telah mencapai tahap 97 peratus keupayaan.

Jika kes harian melebihi 8,000 sehari ini berkekalan selama lima hari maka sistem kesihatan kita bakal runtuh dan lumpuh.

Advertisements
Ismail Sabri dan Mohamed Azmin Ali

Objektif ini tidak akan berkesan jika sektor kilang dan perusahaan masih diberikan kebenaran untuk beroperasi melebihi apa yang perlu.

Jumlah kelulusan dari MITI menjadi persoalan ahli mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bukan soal peribadi antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ismail Sabri. Bukan soal perbezaan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi kerana ia jelas soal rakyat dan keputusan sukar yang harus dan wajib dikekalkan sepertimana persetujuan semua menteri dalam Mesyuarat Kabinet untuk melaksanakan sekatan pergerakan.

Tidak ada peperangan peribadi. Tidak ada perselisihan peribadi antara kedua mereka. Apa yg ada soal prinsip dan keputusan yang harus dikekalkan demi rakyat dan nyawa rakyat Malaysia.

Apakah salah untuk menteri-menteri berbeza pendapat? Apakah salah penghujahan untuk sesuatu fakta diketengahkan dalam proses mencari penyelesaian terbaik? Ia adalah proses dan rutin biasa yang berlaku.

Pihak yang sengaja mahu menambah garam dan sengaja mahu melihat keberantakan antara pimpinan dalam kerajaan pasti mengambil situasi ini sebagai kelebihan buat mereka.

Ditambah pula penasihat yang mungkin bakal mengaut keuntungan dari perselisihan sebegini pasti berusaha untuk mewujudkan sesuatu yg lebih panas dan tegang walhal tidak ada isu dan dakwaan sepertimana ada berita tepuk meja dan saling bertengkar dalam keadaan tegang pun.

Saya yakin apabila ia diselesaikan dengan keterlibatan pihak-pihak yang rasional dan sudah pasti Perdana Menteri akan melihat isu ini dengan teliti dan tidak ada faktor besar yang boleh mengganggu gugat kerajaan yang sedang sedaya upaya mahu menyelamatkan nyawa rakyat pada masa ini.

Ismail Sabri bukan individu yang senang melatah. Beliau juga seorang pemimpin yg meletakkan keutamaan kepada nasib rakyat berbanding dirinya sendiri.

Beliau sanggup menjadi papan sasar kemarahan rakyat kerana yakin apa yang dilakukan pasti membuahkan hasil yg baik kepada rakyat dan beliau cukup percaya satu hari rakyat akan berterima kasih kepadanya dengan ketegasan dan keperihatinan beliau.

Insya-Allah, kita sebagai rakyat mampu menilai adu domba daripada tangan-tangan jahat dan juga permasalahan sebenar yang tidak harus di perbesarkan sehingga merencatkan usaha asal kita untuk memastikan jumlah jangkitan baharu Covid-19 tidak akan bertambah tanpa kawalan.

Sama-sama kita berjuang dan tumpu kepada usaha untuk memastikan kita bukan sebahagian dari statistik yang dibaca setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

  • Penulis adalah penganalisis isu semasa. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan