CYBERJAYA – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang bersidang hari ini bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana kepada produk vaksin Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua iaitu Siam Bioscience Co., Ltd, Thailand.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, pengilang kedua itu merupakan pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Sebelum ini, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Netherlands pada 2 Mac lalu, yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke negara-negara Eropah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX.
“Malaysia telah mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada bulan April 2021. Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co., Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata, kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” katanya.
Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – Edisi 9