31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Harimau Malaya longlai, tewas 0-4 di tangan UAE

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

MALAYSIA longlai di tangan Emeriyah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 awal pagi ini apabila tewas 0-4 dalam aksi di Stadium Zabeel, Dubai.

Tiga jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir jelas amat mengecewakan para peminat dan penyokong di tanah air, walaupun Tan Cheng Hoe menurunkan beberapa pemain naturalisasi dan pemain kacukan buat kali pertama.

Kehadiran Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Dion Cools buat pertama kali seolah-olah tidak berbaloi apabila mereka gagal memberi aksi seperti yang diharapkan.

Separuh masa pertama permainan dikuasai sepenuhnya oleh UAE dan kesudahannya, pasukan tuan rumah berjaya mendahului menerusi penyerang berbisa mereka, Ali Makhbout pada minit ke-19 yang menyambut baik bola hantaran jauh sebelum menewaskan Farizal Marlias.

Walaupun ketinggalan 1-0, para pemain negara tetap tidak banyak berubah dan masih lagi dengan permainan bersahaja sebaliknya UAE terus mengasak pintu gol Malaysia.

Mujur Farizal beraksi cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya UAE yang diketuai oleh Ali Makhbout sehingga tamat separuh masa pertama dengan kedudukan 1-0.

Kemasukan Shafiq Ahmad menggantikan Azam Azih dan Luqman Hakim mengisi posisi Safawi Rasid pada separuh masa kedua menghidupkan semula permainan Malaysia.

Percubaan dari luar kotak penalti Shafiq hampir-hampir mendapat gol penyamaan pada minit ke-64 namun sepakan leretnya sedikit terkeluar di sebelah kiri pintu gol UAE.

Dion yang dibawa dari kelab FC Midtjylland untuk memperkukuhkan benteng pertahanan nyata tidak mampu mengekang asakan demi asakan penyerang UAE.

Pada minit ke-82 Fabio de Lima melepaskan sepakan lencong di sebelah kiri pintu gol melepasi kawalan Dion gagal dihalang oleh Farizal untuk menambah jaringan bagi UAE.

Nyata ketinggalan 2-0 membuatkan anak-anak buah Cheng Hoe terus hilang punca. Akibatnya UAE menambah dua gol lagi pada minit ke-89 dan 90 menerusi Makhbout dan de Lima menjadikan keputusan penuh kita tewas 0-4.

Kekalahan ini menyukarkan Harimau Malaya untuk ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas menyaksikan Thailand dan Indonesia seri 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan G.

Malaysia perlu memenangi kesemua baki dua perlawanan, bertemu Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan