36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penyakit LSD ancam lembu, tidak menular kepada manusia – JPV

Mesti Baca

CYBERJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) dilaporkan menular di beberapa negara Asia termasuk India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China,Chinese Taipei, Vietnam, Myammar dan terkini di Thailand.

Jabatan itu dalam kenyataan berkata, penyakit tersebut disebabkan oleh virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang terjangkit. 

“Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit adalah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu. Tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD.

“Ternakan lembu yang terjangkit boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut berkata, walaupun penyakit itu tidak menyebabkan kematian yang tinggi, tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu pejantan.

“Penyakit LSD tidak zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia. Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata disebabkan jangkitan LSD.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga ingin memaklumkan bahawa berita yang tular berkaitan ‘Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak’ adalah tidak benar,” kata kenyataan itu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar  telah mengaktifkan program survelan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara. 

“Setakat ini, sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis/ladang telah diperiksa dan mendapati 89 ekor (0.1%) menunjukkan gejala jangkitan LSD,” katanya kenyataan tersebut.

Sebagai usaha mencegah penularan penyakit LSD menerusi kemasukan ternakan lembu yang di import, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga telah mengetatkan syarat import lembu hidup daripada luar negara.

Menurut jabatan itu, dengan kerjasama MAQIS memperkemas kawalan di pintu masuk negara di sempadan Malaysia dan mengambil tindakan ke atas mana-mana konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di Stesen Kuarantin.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu supaya segera menghubungi pejabat perkhidmatan Veterinar di negeri atau daerah berdekatan sekiranya mengesyaki ternakan lembu di dalam jagaan atau kandang menunjukkan gejala penyakit LSD. 

“Persampelan akan dijalankan untuk tujuan pengesahan penyakit. Ternakan lembu yang terjangkit perlu di asingkan dan dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih jabatan atau rumah sembelih swasta yang dilesenkan,” kata kenyataan berkenaan. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan