26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Dafi pun tak terkecuali kalau langgar SOP – Ismail Sabri

Mesti Baca

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan teladan yang baik sebagai menteri yang bertanggungjawab dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang merupakan Menteri Kanan Pertahanan menegaskan, tiada sesiapa pun termasuk anaknya sendiri yang dikecualikan daripada dikenakan tindakan jika terbukti melanggar SOP.

Memetik laporan Malaysiakini, Ismail Sabri memberi jaminan tersebut berikutan anaknya, Gaddafi atau lebih popular dengan gelaran Dafi terlibat dalam program realiti All Together Now Malaysia yang dikatakan melanggar SOP.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menyiasat (perkara tersebut). Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

“Sesiapa sahaja yang melanggar SOP pasti akan diambil tindakan, walaupun anak saya,” katanya.

Ismail Sabri SOP
Dafi antara juri yang dihimpun untuk rakaman satu program terbitan Astro.

Program realiti hiburan terbitan Astro itu dikecam pelbagai pihak kerana dikatakan menghimpunkan kira-kira 50 juri yang terdiri daripada selebriti di dalam studio ketika penggambaran dilakukan.

Juri-juri terbabit juga dikatakan tidak memakai pelitup muka ketika program berlangsung.

Mereka mempertikaikan bagaimana perkara itu boleh berlaku sedangkan pada masa yang sama, jumlah jemaah yang dibenarkan untuk solat di masjid dan surau adalah lebih kecil.

Sehubungan itu, orang ramai menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program berkenaan kerana didakwa melanggar SOP PKP.

Berikutan kecaman hebat daripada netizen, Astro menggantung penyiaran episod seterusnya program yang dihoskan oleh Sherry Al-Haddad itu.

MKN sebelum ini menjelaskan, tindakan sewajarnya akan diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia jika berlaku pelanggaran SOP semasa rakaman program realiti berkenaan.

Astro juga telah menyatakan, rakaman program All Together Now Malaysia dilakukan di Putrajaya pada Mac lalu, sebelum PKP 3.0 bermula.

Ujian calitan telah dilakukan terhadap semua individu yang mengambil bahagian dan hanya mereka yang berstatus negatif sahaja boleh menyertai sesi rakaman.

Menurut Astro, set bertingkat yang menempatkan para juri dibina mengikut spesifikasi penjarakan fizikal 1.6 meter dan setiap juri dipisahkan dengan penghadang lutsinar.

Pihak berkuasa turut memantau situasi sepanjang rakaman berlangsung.

Walau apa pun, sebaik-baiknya biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran SOP semasa rakaman program All Together Now Malaysia seperti yang didakwa para netizen. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan