32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tak bincang bentuk kerajaan, Anwar belum cukup nombor?

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUALA LUMPUR – Soal pembentukan kerajaan baharu tidak dibincangkan ketika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi.

Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan sendiri oleh Ahli Parlimen Port Dickson tersebut kepada pemberita sebaik sahaja keluar dari pekarangan Istana Negara.

“Itu soal yang tidak berbangkit sekarang,” katanya ketika ditanya sama ada isu berkenaan dibincangkan dalam pertemuan bersama Seri Paduka.

Penjelasan Anwar itu sekali lagi menimbulkan persoalan sama ada pembangkang mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Desas-desus tersebut hangat diperkatakan setelah media melaporkan tentang ketua-ketua parti politik dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Pada Oktober lalu, Anwar dalam sidang media mendakwa beliau mempunyai sokongan yang mencukupi dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Walau bagaimanapun, Istana Negara mengesahkan Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya semasa menghadap Al-Sultan Abdullah pada 13 Oktober lalu.

Sebaliknya, beliau hanya mengemukakan angka atau jumlah Ahli Parlimen yang dikatakan menyokongnya.

Blok pembangkang yang diketuai Anwar juga gagal menghalang kelulusan Belanjawan 2021 yang disokong oleh majoriti Ahli Parlimen termasuk dari UMNO.

Sehubungan itu, ramai pihak meminta Anwar melupakan angan-angannya untuk menjadi Perdana Menteri demi memastikan kestabilan politik negara.

Salah seorang pemimpin politik yang berpandangan demikian adalah Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Khairuddin dalam kenyataan media hari ini memberi peringatan kepada Anwar supaya tidak melobi jawatan Perdana Menteri ketika menghadap Seri Paduka.

Beliau berharap peluang yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu dimanfaatkan untuk mencari formula terbaik bagi melawan pandemik COVID-19 dan membina semula ekonomi negara.

“Untuk pengetahuan Anwar Ibrahim ini bukan majlis hendak berebut jadi Perdana Menteri!! Atau untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa hanya beliau yang layak untuk jadi pemimpin nombor satu negara!!

“Tolonglah jangan terlalu obses dengan agenda untuk menjadi Perdana Menteri tetapi sepatutnya Anwar Ibrahim harus pentingkan nyawa rakyat serta sama-sama ke arah membangunkan semula kesejahteraan masa depan negara,” jelasnya.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Khairuddin itu kerana dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih belum reda ketika ini, semua pihak lebih-lebih lagi pemimpin politik sepatutnya mengutamakan keselamatan rakyat dan bukannya mengejar agenda peribadi yang tidak berkesudahan. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan