24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Benarkan mahkamah syariah, firma peguam syarie beroperasi

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan mahkamah syariah dan firma peguam syarie dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presidennya, Musa Awang berkata, penutupan operasi mahkamah syariah dan sektor guaman syarie telah menimbulkan permasalahan yang memberi kesan terhadap umat Islam secara keseluruhan.

Menurut beliau, kes-kes yang didengar dan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) sahaja.

“Akan tetapi ia meliputi kes-kes pertikaian yang lain seperti kes-kes keganasan rumahtangga, permohonan perintah injunksi tegahan terhadap gangguan terhadap fizikal (tubuh badan), injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, perintah interim jagaan anak, dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Musa memberitahu, media telah melaporkan dan statistik merekodkan bahawa kes-kes perceraian berlaku peningkatan luar biasa semasa PKP.

Beliau menambah, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar pernah melaporkan bahawa sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun tahun lalu.

“Hilang punca pendapatan, menganggur dan stres semasa PKP telah mencetuskan ‘kebiasaan baharu’ dalam kehidupan masyarakat dengan meningkatnya kes-kes perceraian.

“Masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang atau kurang punca pendapatan disebabkan PKP.

“Kehilangan atau kekurangan pendapatan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, lantas menyebabkan konflik dalam rumahtangga dan berlaku perceraian,” jelasnya.

Musa berkata, apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya mereka dapat merujuk permasalahan mereka kepada mahkamah syariah atau peguam syarie, jika sekiranya kedua-dua institusi ini dibenarkan beroperasi.

“Rujukan dan tindakan kedua-dua institusi ini penting supaya permasalahan yang berlaku tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh sepatutnya dan sewajarnya, supaya tidak timbul rentetan masalah-masalah yang lain,” ujarnya.

Selain itu, menurut beliau, kes-kes keganasan rumah tangga sepanjang tempoh pelaksanaan PKP meningkat dengan ketara.

“Pada 4 Mei 2021, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun, berkata kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga.

“Menurut laporan statistik, sebanyak 902 kes dilaporkan sepanjang tempoh Januari hingga April tahun 2021 (empat bulan pertama tahun 2021), dengan peningkatan didorong pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu.

“Manakala menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan, manakala merujuk kepada statistik Talian Kasih KPWKM, dalam tempoh sama, sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga telah diterima,” katanya.

Musa menyatakan, apabila berlaku keganasan dalam rumahtangga, mangsa boleh merujuk perkara tersebut kepada peguam syarie, yang akan menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis, mendapatkan Perintah Injunksi Interim Tegahan Gangguan daripada mahkamah syariah atau Interim Protection Order (IPO) (daripada mahkamah majistret).

Beliau berkata, lanjutan daripada itu juga biasanya akan berlaku pertikaian susulan seperti pengasingan pasangan, tuntutan perceraian dan perebutan hak jagaan anak-anak.

Advertisements

“Statistik ini menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk membenarkan mahkamah syariah seluruh negara beroperasi dan membenarkan firma peguam syarie beroperasi sepanjang PKP 3.0,” katanya.

Musa berkata, firma-firma guaman syariah bukan sahaja berperanan mewakili masyarakat membuat tuntutan di mahkamah syariah, malah mereka juga berperanan memberikan khidmat konsultasi kepada masyarakat awam yang mencari alternatif untuk meluahkan permasalahan dan tekanan perasaan akibat masalah perkahwinan yang berlarutan sebelum dan semasa PKP 3.0.

Beliau berkata, sebahagian masyarakat awam telah melantik peguam syarie untuk membuat tuntutan mereka sebelum PKP 3.0.

“Disebabkan mahkamah syariah dan firma guaman syariah tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP 3.0, maka tuntutan-tuntutan ini tidak dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Tuntutan-tuntutan tersebut kadangkala perlu disegerakan atau ia berkaitan antara satu sama seperti keganasan rumah tangga, perceraian (cerai luar mahkamah, cerai hakam, fasakh atau taklik), kes pembahagian harta pusaka (faraid) akibat berlaku kematian disebabkan COVID-19 atau punca-punca lain, pelupusan harta si mati melalui perintah lelongan, harta sepencarian dan tuntutan keberhutangan dengan pihak bank, tuntutan yang melibatkan tempoh had masa dan sebagainya,” jelasnya.

Menurut Musa, langkah membenarkan mahkamah syariah dan firma-firma peguam syarie beroperasi semasa PKP 3.0 juga dapat mengelakkan tanggapan negatif masyarakat awam khususnya orang Islam terhadap institusi agama di negara ini.

“Terutamanya golongan wanita yang kebanyakannya menjadi mangsa sepanjang tempoh PKP, yang merasakan nasib mereka tidak terbela apabila pejabat agama Islam tidak beroperasi, dan mahkamah syariah juga tidak beroperasi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, operasi mahkamah syariah tidak semestinya dijalankan secara fizikal sepenuhnya, ia juga boleh dibuat secara dalam talian tanpa melibatkan perjumpaan fizikal.

Musa menambah, peguam syarie juga boleh berurusan dengan mahkamah syariah secara atas talian untuk prosiding sebutan atau pendengaran kes-kes tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, majoriti peguam syarie adalah usahawan Melayu yang mempunyai firma sendiri dan menggaji pekerja.

“Mereka tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mereka adalah majikan yang perlu membayar caruman KWSP pekerja.

“Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum, sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewabeli kenderaan, pinjaman peribadi dan sebagainya terpaksa dibayar. Nafkah kepada tanggungan juga perlu dilunaskan,” ujarnya.

Musa berkata, dalam tempoh PKP, perbelanjaan operasi firma peguam syarie masih perlu dijelaskan seperti sewa pejabat, bil elektrik, talian internet pejabat, gaji peguam, gaji pekerja, caruman KWSP Pekerja dan sebagainya.

Tambahnya, kebanyakan firma guaman syariah menyewa di premis milik individu atau syarikat tertentu yang tidak mendapat pengecualian atau penangguhan bayaran sewa seperti di premis milik kerajaan atau milik badan kerajaan.

“Majikan terpaksa menanggung bayaran gaji peguam atau gaji kakitangan walaupun mahkamah syariah tidak beroperasi dan kes-kes tidak berjalan seperti biasa.

“Sekiranya operasi firma-firma peguam syarie tidak dibenarkan, risiko untuk pemberhentian pekerja atau menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada kakitangan adalah tinggi kerana seorang majikan tidak akan mampu untuk menanggungnya lebih daripada tempoh tersebut, disebabkan tiada pendapatan diperolehi di sepanjang tempoh PKP,” jelasnya.

Musa berkata, sebagai sebuah persatuan yang menaungi lebih 4,500 peguam syarie di negara ini, kami amat prihatin dengan keadaan yang menimpa ahli-ahli persatuan dan keseluruhan peguam syarie di negara ini, termasuk rungutan daripada masyarakat awam berhubung penangguhan prosiding kes. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan