26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

24 pekerja SWM Environment positif COVID-19

Mesti Baca

SEREMBAN – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengesahkan seramai 24 pekerjanya positif jangkitan COVID-19.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, SWM Environment sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi memastikan pekerja terbabit dikuarantin dan mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

Menurut beliau, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“SWM Environment juga memohon kerjasama orang ramai agar tidak menularkan berita yang tidak sahih melibatkan pekerja barisan hadapan SWM Environment supaya tidak mencetuskan sebarang situasi cemas dalam kalangan masyarakat.

“Pihak pengurusan SWM Environment juga telah mengambil tindakan segera dan pantas bagi mengawal dan menghentikan rantaian penularan wabak tersebut dengan melaksanakan sanitasi setiap hari pada semua kenderaan-kenderaan kutipan sisa pepejal dan jentera pembersihan awam termasuk pejabat-pejabat operasi SWM Environment di seluruh Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas tentang mesej yang tular dalam media sosial berhubung sejumlah pekerja syarikatnya dijangkiti COVID-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Norlisam berkata, SWM Environment akan melaksanakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti biasa di lapan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh kerajaan sepanjang tempoh penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

Beliau menambah, pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu menjadi panduan SWM Environment untuk menguruskan janaan sisa buangan para penduduk.

“Dalam tempoh penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh ini, adalah menjadi tanggungjawab SWM Environment sebagai syarikat perkhidmatan perlu yang menguruskan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam untuk memastikan kelancaran operasi mengikut jadual.

“Justeru, SWM Environment telah merancang dengan teratur akan keperluan harian jentera dan pekerja barisan hadapannya bagi memastikan kerja-kerja kutipan sisa pepejal yang dijana oleh penduduk sentiasa terurus dan persekitaran di kawasan awam adalah bersih,” jelasnya.

Mohd Norlisam juga memohon kerjasama para penduduk untuk memastikan tiada sebarang halangan kenderaan di sepanjang laluan jentera operasi perkhidmatan serta di sekitar tong sampah beroda (TSB) dan rumah sampah berpusat.

Beliau turut menyarankan agar semua masyarakat dapat menguruskan sisa yang dijana oleh mereka secara tertib terutamanya sisa pelitup muka bagi mengelakkan risiko jangkitan wabak COVID-19 kepada pekerja SWM Environment dan orang awam.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak SWM Environment secara berterusan memberikan kesedaran kepada warga kerja barisan hadapannya tentang langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dan sentiasa mempersiapkan mereka dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE).

Malah, SWM Environment juga meneruskan kerjasama erat dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara berperingkat kepada pekerja-pekerja barisan hadapan SWM Environment.

Orang ramai boleh menghubungi saluran komunikasi awam SWM Environment yang merangkumi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082 untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan perkhidmatan SWM Environment. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan