33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tular lori bawa pekerja positif COVID-19, majikan disiasat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menyiasat insiden di mana sekumpulan pekerja asing yang didapati positif COVID-19 dibawa menaiki lori di Kuala Muda, Kedah, semalam.

Menurut KSM, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan melihat dan meneliti perkara itu mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) bagi membendung penularan jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja terutamanya warga asing.

“KSM ingin mengingatkan dan menasihatkan semua majikan yang perlu membawa para pekerja mereka bagi tujuan saringan mahupun kuarantin untuk menggunakan mod pengangkutan yang bersesuaian bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan orang awam.

“Selain itu, KSM turut menggesa para majikan untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja terutamanya dalam tempoh mencabar ini.

“KSM juga sama sekali tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melanggar undang-undang,” kata kementerian itu dalam kenyataan media, hari ini.

KSM turut memaklumkan bahawa lori tersebut telah dikesan dan ditahan oleh polis berhampiran Sungai Lalang, Kuala Muda, semalam.

Dalam kenyataan media semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis bertindak mengesan lori terbabit setelah rakaman video yang menunjukkan sekumpulan individu memakai gelang kuarantin merah jambu yang dibawa kenderaan berkenaan tular dalam media sosial.

Beliau memberitahu, hasil tindakan pantas polis, lori tersebut berjaya dikesan dan ditahan dekat kawasan Sungai Lalang, Bedong.

“Siasatan awal di lokasi, seramai 48 orang kes positif berada di dalam lori tersebut dalam keadaan tangan bergelang kuarantin dan sedang dalam perjalanan dari Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda ke asrama pekerja di kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong.

“Hasil siasatan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, terdapat kes positif yang telah terkesan di sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang,” jelasnya.

Adzli berkata, PKD Kuala Muda telah mengarahkan seramai 135 pekerja kilang yang positif tersebut untuk hadir bagi tujuan siasatan dan mengenakan gelang kuarantin.

Beliau menambah, seterusnya, majikan telah mengatur sebuah lori khusus untuk membawa kesemua 135 kes positif dengan tiga kali perjalanan.

“Semasa lori tersebut dalam perjalanan ke PKD Kuala Muda, video dan gambar tersebut telah dirakan serta dimuat naik ke dalam media sosial dan mengundang kegusaran orang awam,” ujarnya.

Pemandu lori disaman polis. – Gambar: Facebook Polis Daerah Kuala Muda

Adzli memberitahu, tindakan telah diambil oleh polis terhadap pemandu lori tersebut dan dia disaman atas kesalahan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Menggunakan Lesen Kenderaan Motor bagi tujuan lain.

Selain itu, katanya, kertas siasatan turut dibuka melibatkan pengurus atau majikan kilang tersebut di bawah Seksyen 22(b) Akta 342 (kesalahan am tidak mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa) dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yantg berbahaya kepada nyawa).

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular kejadian tersebut,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan