31.6 C
Kuala Lumpur
Monday, September 27, 2021

Kes cukai tertunggak: Najib gagal gantung perintah mahkamah

Mesti Baca

CYBERJAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Ahmad Bache, yang memutuskan bahawa semua pembayar cukai adalah sama di sisi undang-undang, berkata jika mahkamah membenarkan perintah penggantungan itu kepada defendan (Najib), plaintif (kerajaan melalui LHDN) akan dihalang daripada memfailkan sebarang tindakan untuk mendapat kembali amaun cukai tertunggak terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Ini akan menjadi duluan yang tidak baik untuk diikuti dan digunakan oleh pembayar cukai lain sebagai alasan untuk mengelak atau menangguhkan pembayaran cukai dan menimbulkan, meskipun salah, satu inferens bahawa ‘sikap dwistandard’ kini dibenar serta diamalkan.

“Seperti yang diputuskan oleh mahkamah ini dalam penghakiman terus bertarikh 22 Julai 2020, defendan yang juga bekas menteri kewangan hendaklah tahu.

”Dan seharusnya tahu semua peruntukan undang-undang ini kerana LHDN sebagai agensi pungutan hasil adalah di bawah naungannya pada masa yang material manakala jumlah yang terlibat pula adalah besar,” katanya dalam penghakiman setebal 25 muka surat yang dikeluarkan kepada media hari ini seperti dilapor Bernama.

  • Tiada alasan kukuh tangguh pelaksanaan perintah

Beliau berkata sehingga kini, Najib gagal membayar jumlah itu sebaliknya bertindak memfailkan permohonan untuk menggantung pelaksanaan perintah yang didakwa LHDN sebagai sudah terlambat manakala defendan sendiri tidak melakukan sebarang usaha membuat pembayaran dalam apa bentuk sekali pun. 

Baca juga:   2 rakan dipenjara ingkar PKP, ceroboh kedai

Ahmad juga memutuskan bahawa Najib tidak mempunyai alasan kukuh untuk menangguhkan pelaksanaan perintah itu apabila beliau gagal membuktikan bahawa terdapat ‘keadaan khusus’ untuk memuaskan hati mahkamah.

Baca juga:   KJ cedera jatuh parit, langgar lubang ketika berbasikal

Menyentuh hujah bahawa Najib berdepan risiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen susulan prosiding kebankrapan yang dimulakan oleh LHDN selepas beliau gagal melunaskan amaun terbabit, beliau berkata mahkamah bersetuju dengan LHDN bahawa ia tidak lebih daripada perasaan ‘takut akan kehilangan sesuatu.’

Hakim itu juga memutuskan bahawa jika defendan berjaya dalam rayuannya (berhubung amaun yang dituntut oleh LHDN) di peringkat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), sebarang amaun tambahan yang dikutip boleh dikembalikan, oleh itu tidak ada isu bahawa rayuan di hadapan SCIT adalah sia-sia.

“Mahkamah ini juga berpendapat bahawa plaintif memiliki kemampuan kewangan untuk memberikan pampasan kepada defendan jika defendan berjaya dalam rayuannya di peringkat SCIT. Tidak ada kerugian yang tidak boleh ditaksirkan dan tidak dapat diperoleh semula daripada plaintif jika defendan berjaya dalam rayuan ini.  

“Sebaliknya, defendan tidak menunjukkan sebarang bukti kukuh untuk membuktikan ketidakmampuan plaintif untuk membayar pampasan. Semua alasan ini memerlukan pertimbangan dan oleh itu, mahkamah memihak kepada plaintif dalam keputusan untuk tidak membenarkan penangguhan,” katanya.

Ahmad juga berkata defendan masih boleh berunding dengan plaintif untuk membuat beberapa pembayaran sementara menunggu pelupusan pendengaran di peringkat SCIT. 

Beliau berkata LHDN mempunyai skim yang menyaksikan pembayar cukai dibenarkan membayar secara ansuran yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam situasi ‘menang-menang.’  

Baca juga:   Najib tanya, mampukah Belanjawan 2021 pulih ekonomi?

“Bentuk penyelesaian ini masih boleh diatur serta dipersetujui oleh defendan dan plaintif sementara menunggu pelupusan rayuannya di peringkat SCIT,” katanya.

Hakim itu berkata berdasarkan alasan yang telah disebutkan, permohonan defendan untuk menggantung perintah pelaksanaan penghakiman terus bertarikh 22 Julai 2020 ditolak dengan kos sebanyak RM15,000.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wong Yeong Kang manakala Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad mewakili LHDN.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Baca juga:   Saya ‘dimangsakan’ kerana dendam kesumat seseorang

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun ini untuk pendengaran.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran tersebut kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Terkini

Muhyiddin, sawit dan peneroka Felda

MENGENALI sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau bukan jenis berkokok dalam perbuatan. Dengan diam dan senyap beliau bantu apa...

Lagi Artikel Berkaitan