26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

98 kru KD Mahawangsa positif Covid – Ismail Sabri

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Pertahanan mengesahkan seramai 98 kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua anak kapal berkenaan menjalani ujian RTK Antigen Covid-19 sebelum menaiki kapal berkenaan dan didapati negatif.

“Selepas berada beberapa hari di dalam kapal mereka didapati positif, setakat ini semua anak kapal terlibat tidak mengalami sebarang simptom dan mereka telah diasingkan dan kini menjalani kuarantin.

“Insya-Allah selepas 10 hari mereka akan menjalani ujian PCR dan jika negatif mereka akan dibenarkan keluar,” katanya pada sidang media melepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, usaha mencapai imuniti kelompok untuk lebih 500,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dicapai dalam tempoh tiga bulan.

Kata Ismail Sabri, proses vaksinasi itu mampu dipercepat dengan kaedah pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat yang menyaksikan projek perintisnya di Kem Perdana Sungai Besi.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, kaedah pandu lalu itu mampu melakukan pemberian vaksin sehingga 1,500 dos sehari, meliputi anggota tentera, ahli keluarga mereka, serta orang awam yang bekerja sebagai staf Kementerian Pertahanan.

“Kita dapati PPV jenis pandu lalu sangat mudah dan cepat. Daripada mula sewaktu pendaftaran sehingga selesai suntikan vaksin ini selama 15 minit sahaja. Mereka perlu lalui tempat pendaftaran kemudian terus ke tempat vaksin. Dan selepas itu mereka akan keluar dan berada di tempat menunggu selama lima belas minit.

“Sistem ini saya kira sangat baik. Dan tidak perlu kos besar. Kalau tempat (PPV) biasa jmereka kena mencari tempat letak kereta, kalau kereta jauh, nak jalan kaki dan sebagainya. Kalau PPV besar, beribu orang satu hari, barisan mungkin jadi sangat panjang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihak kementerian telah memohon dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pharmaniaga Bhd, serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 bagi mendapatkan vaksin Sinovac secara terus kepada warga ATM.

Jika permohonan itu berjaya ditambah pula dengan jaminan vaksin Pfizer sedia ada dan akan datang, beliau bekata sasaran untuk mencapai proses vaksinasi sehingga 200,000 warga ATM sebulan boleh tercapai.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan