32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Harga minyak masak: Gunalah segala kuasa yang ada…

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

HARGA barang adalah isu sejagat dan masalah yang berulang-ulang serta tidak pernah selesai. Ia bukan hanya berlaku di negara ini, tetapi juga di kebanyakan negara lain. Ia juga berlaku ketika zaman kerajaan terdahulu.

Isu harga barang amat sensitif kerana ia melibatkan dua pihak — pengeluar atau peniaga dan pengguna. Kedua-duanya adalah rakyat. Pengeluar/peniaga adalah rakyat, pengguna juga adalah rakyat.

Apabila melibatkan isu rakyat, maka kerajaan juga perlu berhati-hati bukan sahaja menangani isu-isu berkenaan, tetapi juga dalam soal menjawab isu.

Di beberapa negara tertentu, isu harga barang bukan sahaja boleh mencetuskan demonstrasi jalanan oleh rakyat, malah lebih parah kerajaan boleh ‘tumbang’ kerana gagal menangani isu tersebut.

Hari ini, rakyat membangkitkan soal harga minyak masak yang sudah melambung sehingga RM30 sebotol (5 kg) sejak sekatan pergerakan (lockdown) yang dilaksanakan kerajaan mulai 1 Jun lalu, berbanding antara RM21 hingga RM25 sebelum ini.

Maka kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menjawab perkara tersebut dengan cermat.

Lagipun pengguna sekarang terlalu bijak lantaran mereka hidup dalam dunia yang dipenuhi maklumat dan segalanya boleh diperoleh di hujung jari.

Mereka juga boleh menjadi penyampai maklumat melalui telefon yang ada di dalam poket masing-masing. Jadi, sekarang bukan lagi zaman menteri “menggulagulakan” rakyat dengan ayat-ayat manis.

Ini bukan kali pertama harga minyak masak tidak bersubsidi ini naik harga di bawah kerajaan hari ini. Januari lalu, isu ini juga dibangkitkan oleh rakyat yang mewakili pengguna.

Dan ketika itu Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang menyatakan akan mengkaji harga minyak masak botol 5kg dan sedang mengumpul data mengenai harga bahan keperluan itu untuk tempoh dua tahun lalu.

Perkara itu disiarkan oleh kebanyakan media di peringkat nasional pada 20 Januari. Namun sehingga kini, tiada sebarang pernyataan baik dari pihak KPDNHEP Pulau Pinang mahupun Ibu Pejabat tentang perkembangan kajian tersebut.

Kini isu tersebut dibangkitkan lagi ketika pelaksanaan PKP yang ketat termasuk mengentikan kegiatan ekonomi dan sosial kecuali perkhidmatan perlu.

Semalam, KPDNHEP mengeluarkan kenyataan media bahawa kerajaan tidak menetap atau mengawal harga minyak masak dalam botol.

Kata Unit Komunikasi Korporatnya seperti dilapor FMT, kerajaan hanya menetapkan harga minyak masak bersubsidi yang dijual dalam pek polibeg 1kg dengan harga RM2.50.

“Kerajaan tidak tetapkan atau kawal harga minyak masak dalam botol kerana ia bukan minyak masak bersubsidi,” kata kenyataan itu.

Langkah kerajaan tidak menetapkan harga minyak masak botol sebetulnya diputuskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kira-kira tiga tahun lalu.

Perkara itu diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi hantaran dalam Facebooknya semalam.

Beliau memberi alasan, kegiatan penyeludupan minyak masak dari Malaysia ke negara jiran yang berleluasa menjadi sebab kerajaan ketika itu mengambil keputusan memansuhkan subsidi minyak masak dalam botol.

Namun, pada masa yang sama, katanya, kerajaan BN menaikkan bekalan minyak masak berpaket 1kg yang diberikan subsidi.

Advertisements
HARGA MINYAK SAWIT MENTAH NAIK

Jadi, apakah kerajaan hari ini boleh menuding jadi kepada kerajaan terdahulu yang membuat dasar memansuhkan minyak masak bersubsidi berkenaan?

Dari satu sisi, ya kita boleh berbuat demikian namun keputusan itu bukanlah ‘arahan Tuhan’ sehingga tidak boleh mengubahnya.

Setahu penulis, kerja-kerja di ladang kelapa sawit dan kilang memproses minyak masak boleh dikategorikan sebagai perkhimatan perlu.

Tak tahulah andai dinafikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Justeru, tiada sebab untuk pengeluar menaikkan harga bekalan minyak masak botol melainkan mereka mengambil kesempatan dalam keadaan rakyat yang semakin terhimpit.

KPDNHEP juga memberi alasan bahawa kenaikan harga minyak masak disebabkan oleh peningkatan harga minyak sawit mentah pada masa ini.

(Alhamdulillah, kenaikan harga minyak sawit ini sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada para peneroka dan penanam sawit tempatan kerana sudah tentu pendapatan mereka juga meningkat.)

KPDNHEP berkata, harga minyak sawit mentah pada masa ini sudah mencecah lebih RM4300/metrik tan (berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2500/metrik tan sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.30/kg sebelum diproses dan dibotolkan.

“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja untuk sebelum dibotolkan sudah melebihi RM21 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain dan keuntungan di peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya.

Penulis tertarik dengan pandangan beberapa pihak tentang bagaimana mahu menangani isu kenaikan harga minyak masak. Antaranya:

  1. Menaikkan pengeluaran minyak masak bersubsidi (paket 1kg) daripada jumlah yang ada sekarang.
  2. Memperkenalkan semula harga siling bagi semua jenis minyak masak (botol dan paket).

Betul, kedua-dua langkah tersebut akan membebankan kerajaan kerana terpaksa memberikan subsidi kepada pengilang bagi menampung kos pengeluaran mereka.

Dalam hal ini, mungkin kerajaan boleh menggunakan hasil daripada cukai minyak sawit untuk diberi subsidi bagi minyak masak untuk tempoh tiga hingga enam bulan untuk meredakan keadaan.

Lagipun ketika ini kerajaan telah menutup semua pintu sempadan dan mempertingkatkan kawalan bagi mengelak keluar masuk penduduk negara jiran.

Secara tidak langsung kegiatan penyeludupan bukan lagi masalah utama kepada negara.

Penulis percaya, jika kerajaan menggunakan ‘kuasa’ ketika darurat pada hari ini untuk membuat ketetapan baharu bagi menangani isu minyak masak, ia tidak akan dibantah oleh mana-mana pihak kerana ia melibatkan “isu rakyat”.

Ini kerana bila harga minyak masak meningkat, bermakna harga makanan juga akan meningkat. (Itu belum sentuh harga barangan lain seperti telur yang dikatakan turut meningkat sejak PKP penuh.)

Namun, apapun ia terserah kepada pihak kerajaan selaku pemerintah dan (percaya) para menteri berkaitan mempunyai para pegawai yang lebih arif dan bijaksana untuk menasihati mereka.

Lastik! – Hanya menyampaikan keluhan rakyat

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan