27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

APAD jawab isu tambang bas ekspres cekik darah

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini menjawab isu berhubung tambang bas ekspres dari Gopeng ke Johor Bahru sehingga RM241 yang dianggap cekik darah ketika cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Menurut agensi itu, ketetapan harga tambang bas ekspres adalah berdasakan ketetapan jadual tambang itu kadar tambang lantai bagi bas ekspres jenis Eksklusif adalah berdasarkan penawaran dan permintaan.

Manakala kadar tambang siling bagi perkhidmatan bas ekspres jenis Ekonomi pula, kata APAD, dikawal selia dan ditetapkan oleh kerajaan.

“Berdasarkan ketetapan ini, pihak syarikat bas ekspres dipertanggungjawabkan untuk mengenakan tambang yang bersesuaian selari dengan jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

“Dalam situasi pengadu yang memilih perkhidmatan bas ekspres eksekutif, harga yang dibayar adalah berdasarkan penawaran dan permintaan selari dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“APAD ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk membuat pilihan bijak semasa membeli tiket bas kerana harga tiket adalah berbeza mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang,” kata APAD dalam kenyataan hari ini.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini melahirkan rasa kecewa dan terkejut apabila penumpang yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Gopeng dikenakan bayaran mahal bagi tiket bas yang dibelinya dari dalam talian sebulan lalu sebelum Tahun Baharu Cina.

Katanya, penumpang terbabit dikenakan caj tiket dari Johor Bahru ke Gopeng sebanyak RM190 seorang untuk perjalanan Jumaat (sebelum Tahun Baharu Cina) dan membayar RM241 untuk perjalanan pulang semula pada Isnin.

Advertisements

“Secara peribadi, pengadu merasakan tambang bas yang dikenakan terhadapnya adalah berlebihan dan CAP merasakan bahawa ini satu eksploitasi kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, seperti dilapor media.

APAD mengingatkan para pengendali bas ekspres agar tidak boleh menaikkan harga tambang ekonomi sesuka hati tanpa kebenaran APAD. ‘

Katanya, sebarang kenaikan atau ketetapan harga perlulah dirujuk kepada pihak APAD terlebih dahulu.

“Pihak APAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali yang mengenakan caj tambang tambahan yang tidak munasabah dan membebankan pengguna.

“APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa bekerjasama dalam memastikan tiada pengusaha bas ekspres yang mengenakan kadar tambang sewenang-wenangnya,” katanya.

Kata agensi itu, APAD memandang serius terhadap mana-mana pengendali berlesen kenderaan perkhidmatan awam yang tidak mematuhi ketetapan syarat-syarat lesen.

Katanya, tindakan tegas boleh dikenakan ke atas syarikat berkenaan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715]. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan