29.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Mesyuarat NACCOL putuskan harga kawalan beras – PM

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu harga kawalan beras, akan menjadi salah satu agenda utama pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), minggu depan.

Beliau berkata, mesyuarat yang sepatutnya bersidang lebih awal, ditangguhkan ke minggu depan bagi memasukkan hal yang lebih mendesak seperti harga kawalan beras.

“Kita tangguh mesyuarat NACCOL ke minggu depan, di mana kita akan putuskan secara muktamad tentang harga beras yang dikawal.

“Walaupun ia (harga) tidak boleh rendah sangat, namun saya yakin boleh dikurangkan jika kita lihat semula dan teliti bekalan dapat dari mana, siapa kontraktor dan berapa banyak keuntungan mereka,” katanya ketika berucap dalam Program Jualan Termurah MADANI di Bandar Perda, Bukit Mertajam hari ini.

Anwar turut mengingatkan ‘orang tengah’, agar tidak mengambil keuntungan yang terlalu tinggi kerana ini akan menyebabkan harga di pasaran melambung.

Perdana Menteri berkata isu geopolitik yang berlaku di Terusan Suez turut memberi tekanan kepada harga barangan sehingga mempengaruhi perdagangan global.

“Kita faham tindakan Houthi di Yaman, tapi ini juga menyebabkan kos naik. Laluan ini terhalang disebabkan kemarahan rakyat terhadap kezaliman Israel dan perang di Gaza.

“Namun kita tidak akan jadikan ini alasan dan kerajaan Malaysia akan mencari jalan sedaya upaya untuk kurangkan beban rakyat melalui inisiatif seperti Jualan Rahmah dan Jualan Termurah MADANI, selain memberi suntikan melalui bantuan-bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan eBelia Rahmah,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri mengadakan tinjauan dan menyantuni peniaga serta pengguna di Jualan Termurah MADANI dan turut melancarkan jualan beras putih MADANI pada majlis tersebut.

Advertisements

Beras putih MADANI bungkusan 10 kilogram, dijual pada harga RM30 dan lebih 1,000 bungkusan dijual pada program hari ini.

Anwar berkata harga jualan itu jauh lebih murah berbanding di pasaran, kerana platform seperti ini mengurangkan peranan orang tengah, sekali gus harga barangan boleh dikurangkan jika masalah pemasaran dan keuntungan berlebihan orang tengah boleh diselesaikan.

“Inflasi kita secara umumnya rendah tapi rakyat masih mengeluh, oleh itu kita mesti cari jalan sedaya upaya untuk mengurangkan tekanan mereka,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Sementara itu mengenai kenaikan gaji penjawat awam, Anwar sekali lagi menegaskan kajian itu akan diselesaikan tahun ini.

“Tahun ini saya dok (tengah) kaji nak naikkan juga gaji penjawat awam, sebab apa sudah sudah 10 tahun hingga 12 tahun tak naik-naik, nak ambik duit daripada mana, naik gaji nak suruh naik… yang rompak terus rompak.

“Saya minta kawan-kawan faham kenapa saya tak mau tolak ansur, hang makilah seranglah saya… saya tak tolak ansur untuk bersihkan negara dari perompak-perompak besar ini,” katanya.

Anwar berkata beliau mempunyai peranan besar untuk membersihkan negara daripada rasuah dan sekiranya perkara itu berjaya dilaksanakan, manfaatnya akan dikembalikan kepada rakyat.

Baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata hasil kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka diumumkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Agamawan perlu hormati bidang kepakaran dan autoriti hukum

Oleh PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI MUTAKHIR ini timbul pelbagai isu berkaitan persoalan hukum dan melibatkan para agamawan. Para agamawan...

Lagi Artikel Berkaitan