32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Semua barang dalam kedai runcit, pasar raya boleh jual

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Ramai peniaga kedai runcit dan pasar raya keliru berhubung penjualan barangan bukan keperluan semasa tempoh sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sebagai contoh, bahagian atau rak yang mempamerkan barangan selain makanan seperti peralatan elektrik, alat tulis dan pakaian ditutup.

Pelanggan juga tidak dibenarkan membeli barangan terbabit walaupun premis perniagaan seperti kedai runcit dan pasar raya dibenarkan beroperasi.

Akibatnya, ada dalam kalangan mereka terpaksa membeli barangan yang diperlukan walaupun hanya sebatang pensel secara dalam talian.

Situasi itu menyebabkan orang ramai terpaksa mengeluarkan wang yang lebih banyak bagi menampung kos penghantaran.

Walaupun sesetengah penjual bersedia menanggung kos penghantaran untuk pembelian dalam kuantiti yang besar, ia tetap meningkatkan kos pengguna dan mungkin menyebabkan mereka terpaksa membeli barangan yang kurang perlu.

Isu tersebut turut dibangkitkan dalam media sosial di mana netizen mempersoalkan kewajaran peraturan melarang jualan barangan tidak perlu dalam premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi semasa sekatan penuh.

Walau bagaimanapun, kekeliruan itu terungkai apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjelaskan bahawa semua barangan dalam kedai runcit atau pasar raya boleh dijual.

Advertisements

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah MKN, Datuk Mohd Rabin Basir dalam laporan Sin Chew Daily yang seterusnya dipetik oleh Malaysiakini.

“Kami mengizinkan kedai runcit dan pasar raya menjual barang yang ada di premis mereka, itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Beliau menambah, mana-mana premis perniagaan yang sebelum ini didenda kerana tidak menutup bahagian barangan tidak perlu akan diteliti semula berdasarkan kes masing-masing.

Sementara itu, Malayskini turut melaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya akur dengan keputusan MKN.

Menurut beliau, peraturan tersebut dikuatkasakan sebelum ini bagi mengelakkan kesesakan di premis-premis perniagaan terbabit.

Sememangnya peraturan itu bertujuan baik namun masalah kesesakan dalam premis perniagaan boleh diatasi dengan menggunakan kaedah lain.

Sebahagian besar premis perniagaan mengehadkan jumlah pelanggan yang dibenarkan masuk dalam satu-satu masa dengan memberi kad nombor kepada setiap pengunjung bagi memastikan peraturan itu dipatuhi.

Malah, ada kedai runcit yang tidak membenarkan pelanggan memasuki premis dan urusan jual beli dilakukan di luar sahaja. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan