24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Alexander tak berdiam diri, tampil jawab dakwaan Kian Ming

Mesti Baca

CYBERJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan dakwaan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming bahawa beliau berdiam diri sahaja dalam beberapa isu berkaitan sekatan penuh yang dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau bagi menjawab dakwaan yang dikemukakan oleh Kian Ming:

Saya mengambil maklum isu-isu berkaitan sekatan penuh yang telah dikemukakan oleh bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming seperti yang telah dilaporkan di Free Malaysia Today di kolum Letter to the Editor, ’20 Issues we are unsure of during the total lockdown’ bertarikh 7 Jun 2021.

Antara isu yang dibangkitkan oleh beliau adalah kekeliruan terhadap larangan penjualan arak dan kebenaran menjual rokok yang telah mendapat perhatian pelbagai pihak.

Beliau juga telah membuat kenyataan bahawa saya, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara ini.

Beliau juga telah mendakwa KPDNHEP mengambil tindakan berdiam diri di dalam isu bengkel kereta yang turut menimbulkan kekeliruan di kalangan pemilik perniagaan, yang tidak pasti samada mereka diberikan kebenaran beroperasi.

Ini menyebabkan banyak bengkel kenderaan ditutup dan menyusahkan ramai pihak termasuk pengguna.

Pertama sekali, saya menghargai segala teguran dan ulasan yang telah diberikan oleh Dr Ong. Walaubagaimanapun, izinkan saya untuk memperbetulkan beberapa perkara yang kurang tepat.

Dakwaan beliau saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi menjelaskan isu berkaitan penjualan arak dan rokok ini adalah tidak benar sama sekali.

Pada 31 Mei 2020, saya telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi melalui semua media bagi menjelaskan senarai perkhidmatan perlu sektor Perdagangan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP yang bermula dari 1 Jun hingga 14 Jun 2021 di seluruh negara.

Dalam kenyataan rasmi itu, senarai perkhidmatan perlu yang diberi kebenaran operasi telah dinyatakan dengan jelas, selain prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terlibat.

Dalam senarai yang diberikan, telah diterangkan bahawa kedai serbaneka/ mini market dan kedai runcit dikategorikan sebagai perlu dan diberikan kebenaran beroperasi. Ini membawa maksud segala barangan yang dijual di kedai serbaneka ini boleh dijual kepada pengguna, termasuklah arak dan rokok.

Advertisements

Di premis pasar raya dan pasar raya besar, penjualan barang terhad kepada makanan dan minuman / keperluan asas, farmasi / kedai penjagaan diri dan kedai serbaneka / pasar raya dan restoran (hanya untuk dibawa pulang).

Seperti di kedai serbaneka, minuman keras juga turut dijual bersama-sama barang keperluan lain di bahagian jualan minuman pasar raya dan oleh itu, ia boleh dijual kepada pengguna.

Perlu ditegaskan di sini bahawa kedai atau premis yang HANYA menjual produk minuman keras tidak dibenarkan beroperasi.

Susulan keputusan MKN yang memutuskan semua kilang minuman keras di seluruh negara diarah tutup seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jun 1 2021, KPDNHEP juga telah mengarahkan semua premis yang HANYA menjual arak sepenuhnya, ditutup sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama ini.

Saya juga telah menjelaskan kepada pihak media dan kenyataan ini juga dikongsi dalam laman Facebook saya bahawa kementerian mengambil maklum keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang telah membenarkan penjualan arak di kedai serbaneka seperti 7-Eleven sekiranya mempunyai lesen.

Hanya kilang dan kedai menjual arak sepenuhnya (dedicated liquor store) yang tidak dibenarkan beroperasi. Penjualan rokok di kedai serbaneka juga dibenarkan kerana kedai serbaneka telah disenaraikan sebagai perlu.

Bagi isu bengkel kereta pula, kenyataan media yang dikeluarkan juga telah menjelaskan bahawa perkhidmatan bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti disenaraikan sebagai aktiviti yang diberi kebenaran beroperasi dengan kapasiti pekerja dihadkan sebanyak 60 peratus sahaja.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan cuci kenderaan tidak dibenarkan.

Maka, tidak timbul isu kementerian berdiam diri berkaitan pengoperasian bengkel kereta kerana perkara ini telah dimaklumkan.

Maklumat berkaitan sektor yang dibenarkan juga telah dihebahkan secara meluas melalui pelbagai platform, termasuk di laman web dan laman sosial KPDNHEP selain hebahan media.

Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan sedikit input kepada semua. Ini adalah masa sukar yang dihadapi oleh semua pihak dan saya amat berharap setiap daripada kita berhenti daripada mensensasikan pelbagai isu yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Dalam situasi sukar yang dihadapi oleh semua pihak pada ketika ini, adalah lebih penting untuk kita sama-sama bekerjasama membantu memulihkan keadaan dari mengeruhkan lagi suasana. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan