29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Sultan Selangor kecewa dengan kumpulan antivaksin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin di negeri ini. 

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor  berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya. 

“Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai, sekaligus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya.

“Baginda turut berdukacita melihatkan angka-angka harian kes positif baharu di negeri Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun 2021 mencecah 203,520 kes, serta jumlah kematian yang amat membimbangkan (961 kematian sehingga 7 Jun 2021).

Untuk itu, Baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor,’’ katanya.

Jumlah dos vaksin di Selangor tak adil

Sultan Selangor kata Mohamad Munir terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19, dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini. 

“Tegas baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta.

“Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, Sultan Sharafudin bertitah, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

“Sultan Selangor juga mahu agar jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar. Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi,” katanya.

Mohamad Munir berkata, baginda Sultan turut memuji langkah Kerajaan Negeri Selangor ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan (swab test) Covid-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelosok  negeri.

“Baginda menasihatkan kepada rakyat yang telah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya kekal dalam keadaan waspada dan berhati-hati,” katanya

Dalam kenyataan itu, Mohamad Munir turut memaklumkan, Sultan Selangor merayu rakyat agar terus tekun mematuhi arahan-arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. 

“Ini termasuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar, serta tidak leka dalam mengamalkan SOP wajib seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan sentiasa memastikan kebersihan diri,” katanya.

Kata Mohamad Munir, Sultan Sharafudin mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan (frontliners) di hospital kerajaan dan swasta, serta klinik kesihatan yang masih bertungkus-lumus menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh komited dan berdedikasi, demi memastikan kesejahteraan serta kesihatan rakyat sentiasa terpelihara. 

“Baginda berharap seluruh rakyat dapat menghargai pengorbanan frontliners  dan memberikan kerjasama penuh dalam usaha mengawal dan menghapuskan pandemik Covid-19 di negara ini,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan