25 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 20, 2021

Kepimpinan UMNO bersolidariti tangani COVID-19

Must Read

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kepimpinan UMNO semua peringkat diseru agar bersolidariti dan berganding bahu dalam membantu usaha menangani pandemik COVID-19.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kepimpinan parti itu perlu menggiatkan usaha di peringkat masing-masing untuk menyokong segala inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan.

“Saya menyeru semua pihak dalam kepimpinan UMNO semua peringkat untuk berganding bahu menangani pandemik COVID-19 ini dalam pelbagai cara yang difikirkan sesuai, kerana situasi di negara kita hari ini kita perlukan solidariti.

“Kita tidak boleh membiarkan hanya pihak kerajaan atau Kementerian Kesihatan semata-mata melakukan segalanya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, peranan membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan perlu dipertingkatkan dan digerakkan oleh kepimpinan UMNO di seluruh negara.

Mahdzir memberitahu, antara langkah yang boleh digerakkan adalah mewujudkan pasukan sukarelawan UMNO untuk COVID-19, unit bergerak vaksinasi di setiap kawasan Parlimen yang diwakili UMNO, unit kenderaan khas bagi membawa orang ramai ke pusat pemberian vaksin (PPV), insentif kewangan, pengurusan pengkebumian jenazah pesakit COVID-19 dan bantuan keperluan peralatan atau makanan di pusat kuarantin.

“Ada banyak yang boleh kita sumbangkan sebenarnya berkaitan usaha menangani COVID-19 ini.

“UMNO sebenarnya sudah lama membawa naratif membantu rakyat dalam apa sahaja situasi, dan itulah yang perlu kita lakukan sekarang.

“Kita bukan bekerja membantu rakyat dan negara mengikut musim. Kita ada di mana-mana dan bila-bila masa sahaja bersama rakyat dan negara, itulah UMNO sebenarnya,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam situasi kritikal yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini, kepimpinan UMNO di seluruh peringkat perlu mengambil peluang untuk mendekati rakyat dengan menawarkan pelbagai bantuan yang diperlukan.

Mahdzir berkata, kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO juga perlu lebih agresif dalam menggerakkan jentera mereka turun padang membantu rakyat atau pihak berkuasa berkaitan COVID-19.

Menurut beliau, rakyat ketika sedang memerhati dan menilai setiap perkara yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO.

“Kepada kepimpinan UMNO, menteri besar dan ketua menteri yang menggalas tanggungjawab diperingkat negeri diucapkan tahniah dan syabas atas segala inisiatif untuk melandaikan kes jangkitan COVID-19 di negeri masing masing.

“Manakala pengerusi-pengerusi perhubungan UMNO di negeri-negeri juga kita rakamkan ucapan terima kasih walaupun bukan sebagai menteri besar, tetapi juga telah berusaha untuk membantu menjayakan usaha-usaha menangani COVID-19,” ujarnya.

Mahdzir menambah, pucuk pimpinan UMNO di peringkat Pusat akan memberi sokongan penuh terhadap segala usaha dan inisiatif yang digerakkan di peringkat bawah dalam membantu jentera kerajaan menangani wabak itu.

“Sebagai Naib Presiden UMNO, saya nak jelaskan bahawa di peringkat pucuk pimpinan parti, kita tidak ada apa-apa halangan.

“Matlamat kita adalah untuk membantu usaha menangani pandemik COVID-19 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa mengira situasi politik,” katanya.

Menurut beliau, ini adalah masanya semua pihak berganding bahu dengan semua petugas di peringkat Parlimen untuk berjuang melawan COVID-19.

“Ingin saya tegaskan juga buat masa ini biarlah tumpuan kita kepada melawan COVID-19 terlebih dahulu. Kita ketepikan dahulu soal politik kepartian atau kepimpinan kerajaan.

“Bagi saya, ini bukan masanya lagi. Biarlah kita sama-sama berjuang melawan COVID-19 ini terlebih dahulu. Nyawa kita dan nyawa semua rakyat Malaysia adalah lebih utama buat masa sekarang ini,” jelasnya. – EDISI 9

Latest News

Perancah besi di Lebuh Raya DASH jatuh, dua pekerja cedera

CYBERJAYA - Dua pekerja pembinaan dipercayai cedera selepas perancah besi atau ‘scaffolding’ lebuh raya yang sedang dalam pembinaan runtuh...

More Articles Like This