32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Papan tanda tanah rizab roboh, vandalisme atau khianat?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh REJIKI PEDUS

KOTA BELUD – Pekebun dan penternak di tanah rizab padang ragut Kuala Pintasan, dekat sini terkejut apabila papan tanda larangan menceroboh dan memagar tanah mereka untuk tujuan memindahkan hak milik tanah dirobohkan pihak tidak bertanggungjawab, baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, kawasan berhampiran pantai yang mereka jadikan tempat riadah turut dijadikan tempat pembuangan sampah seperti sisa buah kelapa, sabut dan tempurung kelapa.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Labuan, Rusidi Merjin berkata, papan tanda itu dipasang ahli persatuan berkenaan sebelum Aidilfitri dan dirobohkan pihak terbabit ketika kerajaan melaksanakan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, penduduk Kampung Labuan, Wakap dan Taun Gusi antara yang dibenarkan kerajaan untuk menternak dan bercucuk tanam mengikut kawasan diwartakan bagi kampung masing-masing.

Beliau berkata, penduduk kampungnya adalah antara pemegang amanah kepada tanah berkeluasan 364 hektar di kawasan padang ragut berkenaan.

“Sebelum Aidilfitri kami mengadakan gotong-royong membersihkan satu kawasan berhampiran pantai Kuala Pintasan dan kawasan rekreasi, selain memasang papan tanda menjaga kebersihan dan larangan menceroboh kawasan berkenaan untuk tujuan memagar dan memindahkan hak milik tanah.

“Namun ketika negara mengadakan PKP 3.0, ada pula pihak merobohkan papan tanda berkenaan, selain membuang sampah di kawasan yang kami bersihkan.

“Tidak pasti, sama ada ini vandalisme, perbuatan khianat atau provokasi untuk membangkitkan kemarahan kami kerana kawasan berkenaan turut menarik minat syarikat besar dan orang perseorangan untuk dimajukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

sampah
Sampah dibuang di kawasan yang baru dibersihkan dekat pantai Kuala Pintasan, Kota Belud.

Rusidi berkata, selain merosakkan papan tanda dan membuang sampah, ada juga pihak tertentu membakar rumput kebun penduduk sehingga menyebabkan kerugian kepada pemiliknya kerana tanaman dan pagar turut terbakar.

“Kami harap pihak polis menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan terhadap suspek mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Rusidi mendakwa, syarikat milikan bukan bumiputera menangguhkan majlis pecah tanah projek berskala besar di tapak berkenaan yang sepatutnya diadakan minggu lalu selepas menerima bantahan awal penduduk.

Katanya, mereka akan terus memperjuangkan tuntutan terhadap tanah rizab padang ragut itu kerana ia adalah hak mereka yang diwarisi daripada nenek moyang.

“Kami tidak akan berganjak walaupun seinci kerana tanah ini adalah hak kami yang terbukti menerusi beberapa salinan dokumen pewartaan kerajaan negeri yang ada dalam simpanan kami,” katanya.

Baru-baru ini, Edisi 9 menyiarkan Lebih 1,000 penduduk Kampung Labuan, di sini mendesak campur tangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menghalang projek berskala besar ladang perikanan dan eko resort di tanah rizab padang ragut Kuala Pintasan, dekat sini dianggarkan berkeluasan 364 hektar atas tanah milik mereka.

Kerajaan Sabah juga didesak menyelesaikan isu tuntutan mereka terhadap rizab padang ragut itu dengan meluluskan geran kepada penduduk kampung serta-merta.

Difahamkan pemaju projek itu sebuah syarikat milikan bukan bumiputera yang berpangkalan di Tuaran serta terlibat dalam sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan pemburuan (hunting sector) membangunkan tanah berkenaan tanpa kebenaran dan rundingan dengan penduduk kampung terbabit.

Tanah rizab padang ragut itu dianugerahkan Kerajaan Borneo Utara (North Borneo) kepada penduduk kampung terbabit pada tahun 1956 untuk kegiatan penternakan lembu dan kerbau dan diiktiraf kerajaan Sabah selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Tanah rizab padang ragut itu antara pemegang amanahnya adalah pemimpin masyarakat Kampung Labuan, Wakap dan Taun Gusi dan sebarang projek pembangunan, pengambilan dan pemindahan hak milik tanah perlu dirujuk kepada mereka. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan