27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

JPN Pulau Pinang kesal kejadian vandalisme babitkan murid

Tindakan sewajarnya sedang diambil oleh pihak sekolah, yang mana sekolah telah memanggil murid yang terlibat.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang amat kesal akan kejadian vandalisme dalam kalangan murid sekolah dan akan memastikan isu tular berkenaan diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, JPN Pulau Pinang memaklumkan tindakan sewajarnya sedang diambil oleh pihak sekolah, yang mana sekolah telah memanggil murid yang terlibat bersama waris mereka pada hari ini bagi membincangkan isu tersebut.

“Murid akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

“Nilai kerugian kerosakan harta benda turut sedang dalam siasatan. Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera juga akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah, pada Sabtu.

Beberapa video berdurasi 28 saat dan 58 saat itu turut mendapat reaksi negatif netizen di media sosial yang menyifatkan tindakan pelajar-pelajar itu tidak mencerminkan didikan yang diajar di sekolah.

JPN Pulau Pinang berkata, pihanya memandang serius sebarang salah laku termasuklah vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri berkenaan.

“Pihak pentadbir sekolah di semua peringkat seringkali diingatkan untuk mengambil langkah-langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.

“JPN Pulau Pinang mengambil maklum tentang rakaman video tular, yang mana memaparkan perlakuan murid merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022,” katanya.

Ujar JPN Pulau Pinang, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian.

“Justeru kempen hentikan vandalisme serta
pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiatkan agar selari dengan tujuh teras KPM.

“Dalam masa yang sama, portal-portal yang menyiarkan video tersebut tanpa menutup muka murid disaran untuk memadam video tersebut kerana bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan