29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Vandalisme, jenayah moral yang dipandang remeh

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

VANDALISME bukanlah suatu perkara baharu. Ia dianggap sebagai salah satu gejala yang sukar dibendung.

Vandalisme sering dikaitkan dengan golongan remaja. Hal ini kerana, golongan ini terpengaruh dengan sesuatu gejala atau budaya yang tidak sihat.

Maksud perkataan vandalisme menurut Kamus Dewan adalah salah satu bentuk jenayah di sisi moral dan juga salah satu perbuatan yang merosakkan atau memusnahkan kemudahan awam atau harta orang lain tanpa sebab yang sah di sisi undang-undang.

Sebarang perbuatan seperti menconteng, mengotori, atau merosakkan harta benda awam ini dianggap sebagai vandalisme.

Berdasarkan kajian statistik, 80 peratus gejala vandalisme dilakukan oleh golongan remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 20 tahun dan lebih 70 peratus adalah berpendidikan rendah atau tercicir dari segi akademik.

Gejala vandalisme ini boleh dilakukan secara sendirian atau berkumpulan, tetapi kebanyakannya vandalisme ini adalah dilakukan secara dalam berkumpulan.

Kebiasaannya, gejala vandalisme ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu vandalisme ini juga merupakan satu bentuk jenayah ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap keadaan masyarakat.

Tujuan vandalisme ini biasanya terletak pada aspek emosi. Vandalisme dianggap sebagai suatu cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata.

Walaupun mereka dianggap ringan, tetapi masyarakat awam dan terutamanya kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang sangat besar akibat daripada gejala vandalisme tersebut.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya kegiatan vandalisme dalam kalangan masyarakat.

Misalnya adalah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya.

Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga.

Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif.

Menurut kajian yang dijalankan, didapati bahawa vandalisme berpunca daripada dendam yang dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah.

Selain itu, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama
mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.

Kesimpulannya, para remaja harus berupaya untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk.

Dalam hal ini, semua pihak haruslah berganding bahu untuk membasmi gejala vandalisme yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja.

Walaupun isu ini dilihat sebagai perkara remeh, namun kita perlu sedar bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara.

Sekiranya banyak kemudahan awam dimusnahkan maka ekonomi negara turut akan terjejas disebabkan ganti rugi yang besar ekoran gejala yang tidak bermanfaat ini.

Imej negara juga akan terjejas akibat daripada perbuatan salah laku ini.

Semua masyarakat di negara ini perlu bekerjasama dan bertindak segera dalam menangani gejala ini dan jangan sampai kita menyesal dikemudian hari, bak kata pepatah “Jangan sudah terhantuk baharulah nak terngadah”.

MUHAMMAD HAFIZ HAIKAL MOHD JOHAR
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai, Negeri Sembilan


Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan