34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Henti tularkan video pelajar rosakkan harta sekolah – Fadhlina

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sekali lagi meminta orang ramai supaya berhenti menularkan kejadian vandalisme di dalam bangunan sebuah sekolah di utara negara, yang membabitkan pelajar sekolah itu, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM bimbang sekiranya video itu terus ditularkan, ia akan mengganggu proses intervensi pelajar yang berkenaan.

Menurutnya, proses intervensi itu penting bagi memastikan kanak-kanak terbabit diberi peluang untuk memperbaiki dirinya selain menjadi kesedaran kepada pelajar lain.

“Kita memang mahu jaga dan lindungi anak-anak ini supaya dia dapat kaunseling yang berterusan. Kita bimbang jika terus diviralkan, proses intervensi itu tidak dapat berjalan dengan baik.

“Kita sudah selesai siasatan dan kita sudah panggil kanak-kanak (pelajar) ini, ibu bapa mereka dan sudah melakukan pelbagai intervensi.

“Proses intervensi ini juga sudah dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kaunseling juga sudah kita susuli. Lepas ini kita lihat dari hasil kaunseling itu dan kita lihat apa yang menyebabkan mereka jadi begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Jalan Empat di Bandar Baru Bangi di Selangor, hari ini.

Fadlina menggesa mana-mana pihak tidak mendedahkan wajah dan identiti kanak-kanak ini termasuk identiti sekolahnya.

“Ini anak kita. Kita jangan putus asa. Saya faham ramai yang marah melihat kejadian itu. Saya fikir anak kita mesti diberi peluang, teguran dan kaunseling yang berterusan.

Menurut beliau lagi, terdapat isu yang perlu ditangani secara komuniti dan tugas sebagai ibu bapa, guru dan kaunselor adalah supaya mereka tidak mengulangi perbuatan ini.

“Saya serahkan isu disiplin ini kepada pihak sekolah dan saya percaya pihak sekolah sudah mengambil beberapa tindakan khusus untuk menangani isu ini,” katanya.

Terdahulu tular dua rakaman video di media sosial yang memaparkan tindakan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah.

Video tular berkenaan mengundang rasa kurang selesa masyarakat, bahkan ada yang bimbang dengan sikap generasi akan datang.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan