25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tan Sri Harussani Zakaria meninggal dunia akibat COVID-19

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meninggal dunia kira-kira pukul 2.45 petang hari ini akibat COVID-19.

Maklumat itu disahkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah petang ini.

Minggu lalu, Allahyarham disahkan positif jangkitan COVID-19 dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Rapat, Ipoh petang ini.

Tokoh agama yang dilahirkan pada 8 April 1939 itu meninggalkan isteri, Puan Sri Ainon Abdul Ghani dan empat orang anak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Harussani.

“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Semoga mereka tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Muhyiddin Yassin

Beliau menambah, selain menjadi Mufti Perak, Allahyarham memang dikenali sebagai seorang pendakwah dan agamawan yang mudah didekati dan disegani oleh seluruh lapisan masyarakat.

Muhyiddin memberitahu, jasa dan sumbangan besar Allahyarham dalam memperjuang dan mengembangkan syiar Islam adalah tidak ternilai harganya.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan kepada dunia dakwah, bukan sahaja buat negeri Perak tetapi kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Sama-samalah kita doakan semoga roh Allahyarham yang sepanjang hidupnya mengabdikan diri untuk memperkasakan Islam ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berharap keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi dugaan.

Beliau turut berkongsi gambar yang diambil ketika menziarahi Harussani kira-kira tiga tahun lalu.

Harussani Zakaria
Gambar kenangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menziarahi Harussani Zakaria kira-kira tiga tahun lalu yang dikongsi melalui Facebook.

“Setiap kali ke Perak, saya akan usahakan untuk mengunjungi beliau. Memohon doa dan restu “orang lama” yang juga ilmuan yang amat disegani.

“Moga Allah SWT tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh, di sisi-Nya. Sama-sama kita sedekahkan bacaan surah al-Fatihah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan