26.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 25, 2023

Serangan rejim Zionis Israel amat zalim – Agong

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan sedih susulan pencerobohan dan serangan ganas tentera rejim Zionis Israel ke atas Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lalu dan Gaza sejak 10 Mei lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadhil Shamsuddin hari ini, Seri Paduka menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadan yang mulia sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.

Lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin semalam, Seri Paduka menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui, bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei, untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Seri Paduka turut menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan pada hari ini.

Baca juga:   Jawatankuasa Khas Darurat persembah laporan kepada Agong

“Rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin, ke aras mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Palestin,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Baca juga:   Agong berkenan Ismail Sabri sebagai PM-9, angkat sumpah esok

Seri Paduka menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk terus bersama baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau di negara ini serta menyeru rakyat di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat selepas solat fardu maghrib esok bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Zionis Israel. – EDISI 9

Wartawan

Terkini

Lukaku ledak Hatrik benam Sweden 3-0

BELGIUM memulakan kempen kelayakan Euro 2024 dengan bergaya menewaskan Sweden 3-0 menerusi jaringan hatrik Romelu Lukaku dalam perlawanan pagi...

Lagi Artikel Berkaitan