30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Wartawan veteran Malaysia desak rejim Zionis henti serangan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sembilan wartawan veteran Malaysia mendesak kekejaman yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis Israel di Gaza dihentikan serta-merta.

Desakan itu disuarakan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Husamuddin Yaakub, Datuk Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Datuk Ahirudin Attan dalam kenyataan media, hari ini.

Mereka menyifatkan serangan berterusan di Gaza adalah sesuatu di luar batas kemanusiaan.

“Ia merupakan satu keganasan dan keangkuhan bagi menunjukkan kuasa oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Serangan ke atas rumah kediaman, pejabat dan prasarana untuk rakyat telah menyebabkan kesengsaraan yang melampau di Gaza,” kata wartawan-wartawan veteran berkenaan.

Mereka menambah, penderitaan dalam kalangan orang awam amat dikesali dan menganggapnya tidak lebih tindakan pencerobohan yang mesti dikutuk oleh negara-negara dan persatuan sivil.

Wartawan-wartawan veteran terbabit percaya rejim Zionis Israel sedang mengumpulkan bala tenteranya untuk memasuki Gaza.

“Sekiranya itu berlaku ia akan memburukan lagi keadaan. Suasana tegang yang berlaku di tengah ancaman pandemik COVID-19 ini sama sekali tidak wajar,” jelas mereka.

Mereka menuntut para wartawan Israel untuk bertindak sebagai pencetus kesedaran di negara itu.

Menurut wartawan-wartawan veteran berkenaan, apa yang berlaku bukan tentang apa yang selalu didakwa sebagai ‘hak Israel untuk wujud’.

“Para wartawan Israel patut menyuarakan hak rakyat Palestin untuk hidup sama.

“Mereka telah dinafikan hak asasi dan maruah akibat kekejaman yang diperlakukan ke atas mereka selama lebih tujuh dekad,” kata mereka.

Mereka turut mengutuk serangan ke atas pejabat organisasi media di Gaza oleh tentera udara rejim Zionis Israel yang telah memusnahkan Menara Al-Jalas di mana terdapatnya pejabat beberapa syarikat media termasuk Associated Press (AP) dan Al Jazeera.

“Kami tidak dapat menerima kenyataan bahawa dalam era ini, pihak tentera menjadikan pejabat pengamal media sebagai sasaran,” kata mereka.

Wartawan-wartawan veteran terbabit menambah, semua keganasan itu memang dirancang bermula dari pengusiran beberapa keluarga Palestin dari kawasan Sheikh Al-Jarrah, serangan puak perampau Yahudi ke atas rakyat Palestin dan tindakan tidak bertanggungjawab ke atas mereka yang menunaikan ibadah di Masjid al-Aqsa serta serangan ke atas beberapa sasaran di Palestin.

Mereka juga kesal bahawa sebahagian media Barat memberikan gambaran bahawa rakyat Palestin adalah militan, radikal dan pengganas, istilah yang sewenang-wenangnya digunakan bagi menghalalkan keganasan yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis Israel ke atas mereka.

“Kami juga kesal bahawa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengeluarkan sebarang resolusi dalam isu ini.

“Kami juga kesal bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah menghalang PBB dari membuat sebarang kenyataan mengenai hal itu.

“Pada pandangan kami ini bukan soal agama atau ideologi tetapi tentang rakyat Palestin yang tertindas dan yang dimangsai sejak begitu lama.

“Kami mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar mengeluarkan kenyataan yang keras mengenai hal ini.

“Dunia Islam menunggu pedoman dan hala tuju dari OIC. Tindakan menyepikan diri terutamanya dalam kalangan anggota OIC yang berpengaruh amat dirasakan sekali,” kata mereka. – EDISI 9

Terkini

Afidavit Zahid manifestasi usaha pembelaan terhadap Najib

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan...

Lagi Artikel Berkaitan