25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Segera laksanakan kaedah vaksinasi pandu lalu – Najib

Mesti Baca

CYBERJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah berhenti memberikan pandangan dan saranan kepada kerajaan menghadapi wabak Covid-19 walaupun hanya melalui media sosial.

Hari ini bekas Perdana Menteri itu menggesa kerajaan segera melaksanakan program vaksinasi melalui kaedah pandu lalu sepertimana dilaksanakan oleh beberapa negara seperti Indonesia dan Amerika Syarikat.

Beliau yang pernah mencadangkan kaedah tersebut bagi mempercepatkan proses imunisasi Covid-19 dalam kalangan rakyat sejak Mac lalu berkata, kaedah itu perlu segera dilaksanakan memandangkan jumlah vaksin yang diterima semakin banyak.

“Pusat vaksinasi yang sesak boleh membawa kepada risiko penularan Covid dan tercetusnya kluster Covid. Kerajaan kata kita dijangka terima bekalan vaksin yang tinggi tak lama lagi maka kadar vaksinasi akan semakin naik.

“Namun semakin naik kadar vaksinasi maka berlakunya insiden kesesakan di pusat vaksinasi juga bakal naik,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Najib berkata, kerajaan boleh mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu di kawasan lapang yang luas seperti tempat letak kereta stadium dan lain-lain.

Pada masa yang sama beliau turut mencadangkan agar membenarkan lebih 7,000 buah klinik swasta seluruh negara mengambil peranan dalam program vaksinasi untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin.

“Harap ianya akan menjadi realiti pada masa terdekat untuk memberi lebih keselesaan kepada rakyat dan mengurangkan risiko penularan Covid semasa divaksin.

“Jangan pula orang datang nak dapat vaksin tapi kembali dengan Covid nanti,” katanya.

Perkara itu turut disokong oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang percaya kaedah pandu lalu sangat efisyen kerana jelas wujud penjarakan fizikal antara penerima.

“Beratur dalam kereta masing-masing (pasti ada penjarakan sosial), ada kakitangan datang buat pendaftaran, cucuk, dapatkan surat pengesahan, tunggu kejap untuk pemerhatian (takut ada kesan sampingan) dan boleh berlalu.

“Perlukan tempat lapang (tempat cucuk bolehlah ada kanopi macam pandu lalu cuci kereta), kawasan parkir kereta atau gudang besar yang tak diguna. Mudah, selesa dan selamat. Apa-apa pun idea bermula dari cetusan,” katanya.

Annuar Musa meninjau salah sebuah trak bergerak yang digunakan untuk program suntikan vaksin bergerak peringkat Wilayah Persekutuan. – Sumber: FB Annuar Musa

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini telah memulakan program vaksinasi bergerak menggunakan trak khas.

Menurutnya, melalui kaedah bergerak itu, diharapkan proses vaksinasi dalam kalangan rakyat khususnya warga kota dapat dipemudah dan dipercepat.

“Kita akan perluaskan inisiatif vaksin Wilayah Persekutuan. Dengan adanya trak bergerak kita boleh mensasarkan dan memudahkan lagi ramai kumpulan untuk mendapatkan vaksin di Wilayah Persekutuan.

“Setakat ini 60 lokasi sudah dikenal pasti dan dijadualkan. Kita akan berikhtiar untuk menambahkan trak untuk memastikan inisiatif ini menjadi lebih rancak,” katanya.- Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan