24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Puisi ‘Menuju Masa Depan Pulau Tiga Yang Gemilang’

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

ALHAMDULILLAH, penulisan edisi khas Randau sepanjang minggu lalu telah membuka mata banyak pihak untuk berfikir dan mempelajari pengalaman penulis menjayakan program My Kampung, My Future (MKMF).

Apa yang ada pada hari ini adalah suatu proses yang mengambil masa dan memerlukan ketabahan yang konsisten. Kunci kejayaannya adalah suatu usaha penulis yang memerlukan komitmen dengan jiwa besar.

Saranan banyak pihak agar penulis membukukan Randau ini akan diusahakan secepat mungkin.

Bagi bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan yang sudah berpencen, mereka mahukan buku tersebut menjadi rujukan semua pihak terutama penjawat awam tentang realiti kita menghadapi cabaran menjayakan sesuatu dasar.

Begitu juga konsep kerjasama awam dan swasta, perkongsian kerajaan dan rakyat serta perkongsian sumber antara agensi sangat penting untuk membangunkan negara.

Penulis mensasarkan untuk menghasilkan tiga buah buku pada tahun ini iaitu koleksi rencana Randau (Edisi-9), buku Pulau Tiga Khazanah Warisan Melayu Perak dan cetakan kedua buku Psikologi Keusahawanan.

Walaupun terikat dengan SOP Covid-19, pelbagai aktiviti yang memeriahkan sambutan ulangtahun MKMF Pulau Tiga Ke-8 baru-baru ini telah memberi inspirasi yang sangat bermakna buat penulis dan pesertanya sendiri.

Tahniah kepada Afizah Halim, Pegawai Perikanan Daerah Perak Tengah yang menerima sijil Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan atas komitemen menjayakan projek ikan sangkar.

Terima kasih kepada Mohd Anuar Salleh, Pengarah TEKUN Perak yang kembali mengimbau kenangan pembangunan MKMF selepas 10 tahun beliau menjejakkan kaki meninjau potensi Pulau Tiga sebelum MKMF dilaksanakan.

Penulis (kanan) melancarkan program Lonjakkan Jualan IKS Kita untuk membantu meningkatkan jualan IKS Perak.

Pelancaran musim baru program Story Telling Advertising Strategy (STAR) dan kempen Lonjakkan Jualan IKS Kita pada 30 April lalu adalah kemuncak aktiviti sambutan yang dihadiri begitu ramai wakil media arus perdana dan media sosial.

Harapan masa depan, penulis mahu melihat Pulau Tiga menuju kampung era moden dan menjadi inspirasi sepanjang zaman. Semoga dimakbulkan Allah.

Penulis akhiri artikel kali ini dengan sajak berikut:

DEMI PULAU TIGA (KAMPUNG GAJAH, PERAK)

Pulau Tiga,

Banggaku menjadi anak kelahiranmu, Sebuah mukim nan hebat,
Sejarah terbilang tiada tandingan,
Umpama gemilang empayar Melaka.

Pulau Tiga,

Di saat kehebatanmu kian luntur,
Kuhulur tanganku, jiwaku dan kederat yang ada,
Mengangkat semula darjatmu seperti dahulu.

Pulau Tiga,

Advertisements

Tatkala aku membina semula masa depanmu,
Semangat ini tak pernah luntur,
Biar terkadang rasa kecewa,
Hati nan tabah menahan duka.

Pulau Tiga,

Manusiamu patah tumbuh, silih berganti,
Namun tidak mengubah perangai,
Baik dan buruk sifat manusia,
Berbeza zaman, ceritanya tetap sama.

Pulau Tiga,

Kutinggalkan kemewahan di sana,
Pulang kepadamu menabur jasa,
Jalanmu masih beranjau,
Sejak kecil sudah kulihat.

Pulau Tiga,

Bertuah diri dipilih Allah,
Mengangkat semula darjatmu,
Meniti dunia arus baru,
Menjulang warisan sepanjang zaman.

Pulau Tiga,

Syiar Islammu masih terlihat,
Bumimu makmur penuh berkat,
Kekal subur khazanah alam,
Rezeki buat yang bijaksana.

Pulau Tiga,

Selagi ada dayaku ini,
Aku harungi impian berliku,
Membina yakin masa depan,
Kampung idaman generasi baru.

Pulau Tiga,

Sejarahmu menggamit kenangan,
Menanam inspirasi masa depan,
Kubawa warisan melangkah ke hadapan,
Hanya yang tulus meraikan kejayaan.

Pulau Tiga,

Aku bukan pemimpin berkuasa,
Berjasa sebagai insan biasa,
Biar jasa tidak tersanjung,
Kisah bersamamu tetap terpahat.

Pulau Tiga,

Tugasku dipilih Allah,
Mengangkat darjatmu amanah berliku,
Masih panjang kembara kita,
Sudah tertulis demi Pulau Tiga.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan