25.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 18, 2021

Kuat kuasa PKP ketat dan berkesan, titah Sultan Johor

Must Read

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat dan berkesan seharusnya dilaksanakan sekiranya tindakan itu diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.

Baginda bertitah, orang ramai juga perlu memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titah baginda dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan COVID-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi.

Titah baginda, keadaan itu umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi.

“Kita sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.

“Rakyat tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut.

“Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain, ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir.

“Sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, walaupun sistem penjagaan kesihatan negara diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.

Titah baginda, jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.

“Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat.

“Saya menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

“Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin.

“Sebagai Sultan Johor, saya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor.

“Saya tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini,” titah baginda. – EDISI 9

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This