31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Peranan media massa dalam memartabatkan bahasa

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHD NORAZIZI SAMSUDAIN

DALAM pada negara mendepani isu-isu panas yang silih berganti hari demi hari, stesen penyiaran dan media massa merupakan figura penting yang perlu menggalas beban tanggungjawab ini bagi memastikan integriti nasional dan kesantunan berbahasa kekal terpelihara.

Meskipun terdapat syarikat penerbitan yang tidak bernaung di bawah agensi kerajaan, mereka memegang mandat yang besar untuk mengelakkan fitnah, penipuan dan sekali gus merosakkan reputasi mana-mana individu serta negara.

Misalnya, kerancuan bahasa perlu dikawal selia bagi mengelakkan ‘barah yang lebih parah’ terhadap isu-isu yang diperkatakan oleh masyarakat.

Usah kerana mengejar populariti atau mahukan pelayar media sosial bertambah, pengamal-pengamal media memandang enteng peradaban yang sekian lama telah terpelihara.

Memang benar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap warganegara bebas bersuara untuk menyatakan pendapat dan buah fikiran, akan tetapi pengamal media perlu bijak mengendalikannya supaya setiap kandungan berita yang disalurkan kepada masyarakat bersifat harmoni dan mengekalkan perpaduan negara.

Ini juga penting dalam perkembangan minda dan pemerolehan bahasa terutamanya kepada generasi masa kini.

Menurut pakar linguistik Noam Chomsky, kanak-kanak memperoleh perkataan, frasa dan ayat serta pengetahuan dalam sesuatu bahasa menerusi proses separa sedar seperti menyanyi, bermain dan apa-apa sahaja aktiviti yang cenderung kepada minat mereka.

Otak mereka yang dibayangkan seperti span akan menyerap mana-mana perkataan yang diterima baik daripada orang yang lebih dewasa ataupun rakan sebaya.

Konsep ini berbeza dengan pembelajaran bahasa di sekolah yang lebih menggunakan kaedah secara sedar atau buku teks.

Sehingga Oktober tahun lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan seramai 28.7 juta rakyat Malaysia menggunakan internet dan hampir 68 peratus daripada mereka berusia antara 15 hingga 40 tahun.

Jika kita mengaitkannya dengan teori pemerolehan bahasa yang diperkenalkan oleh Chomsky ini, pengguna internet berpotensi memperoleh pengalaman berbahasa daripada sumber-sumber yang tular di Twitter, Facebook dan media sosial yang menjadi pelantar kepada stesen media melaporkan isu-isu semasa.

Oleh sebab itulah banyak kajian telah dilakukan untuk membuktikan pengaruh media dalam proses perkembangan minda dan emosi masyarakat.

Usaha para pendidik dan ibu bapa yang telah mengajar murid-murid dan anak-anak menggunakan bahasa penuh sopan santun dilihat seperti mencurah air ke daun keladi sekiranya kerancuan bahasa masih diamalkan tanpa sedar dalam kalangan pengamal media.

Cadangan untuk merombak silibus di peringkat Kementerian Pendidikan untuk melahirkan generasi berkaliber juga diyakini sampai bila-bila pun tidak akan berhasil sekiranya ‘penyakit’ dalam kalangan pengamal media ini tidak diubah serta-merta.

Semua pihak baik di peringkat atasan mahupun akar umbi masing-masing membawa beban yang sama untuk memainkan peranan dalam meleraikan sesuatu kekusutan.

Bukannya menuding jari mencari siapa pesalah yang perlu didakwa. Akan tetapi, aspek ini perlu diperhalusi oleh pihak-pihak berkepentingan dalam mengekalkan perpaduan yang sedia terbina di negara ini.

Rakyat Malaysia ada tanggungjawab tersendiri. Jangan kerana kepentingan peribadi, kemerdekaan negara kita perjudi.

Kikis sikap prejudis dan pentingkan diri demi melihat anak bangsa berjaya suatu hari nanti.

Ada banyak perkara perlu dikaji dan diamalkan dari hari demi hari termasuklah memperjuangkan bahasa ibunda tidak kira apa jua matlamat manusiawi.

Perjuangan membanteras normalisasi dalam pemikiran masyarakat terhadap isu-isu sensitif yang hangat dibincangkan oleh masyarakat pada masa ini perlu juga diimplementasikan kepada banyak hal termasuklah isu berbahasa.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu malu dengan diri sendiri kerana Akta 152 secara jelas memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi kita sendiri yang memomok-momokkan kepentingannya malah secara tidak sedar memandang rendah kedudukannya.

Dalam usaha meningkatkan rating, mengekalkan kedudukan dan mendapat mandat kepercayaan rakyat, syarikat penerbitan dan media massa wajib mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 supaya tidak berlakunya menang sorak, kampung tergadai.

Nikmati kemerdekaan yang dikecapi kerana setiap daripada kita mendukung kesemua prinsip Rukun Negara.

  • Penulis ialah Pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan