24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Perkasakanlah bahasa kebangsaan, tubuh suruhanjaya

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

YOU minum, kami deliver‘. Itulah ungkapan yang terpampang pada satu papan iklan ketika penulis memandu di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sungai Buluh baru-baru ini.

Ungkapan atau copy writing iklan tersebut memang menarik perhatian. Jika tidak masakan penulis terperasan wujudnya papan iklan tersebut di sebalik begitu banyak papan iklan lain di sepanjang lebuh raya tersebut.

Dari segi pemasaran, ya ungkapan itu benar-benar menarik perhatian dan membuatkan ramai yang ingin tahu produk yang diiklankan, namun dari segi bahasa, boleh sakit kepala dibuatnya.

Masakan tidak apabila bahasa rojak diguna pakai dan membuatkan menambah sakit kepala penulis, bagaimana papan iklan itu boleh diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Apakah sekarang ini sudah tiada lagi syarat penggunaan bahasa kebangsaan dalam mana-mana papan iklan dilaksanakan oleh PBT atau agensi pengeluar lesen pengiklanan?

Atau syarat itu masih berlaku tetapi sudah semakin diabaikan oleh mereka yang bertanggungjawab mengenainya?

Itu baru satu papan iklan yang menarik perhatian penulis dan rasanya banyak lagi papan-papan iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan, pemakaian bahasa rojak atau guna bahasa Melayu tetapi tatabahasa yang tunggang-langgang.

Penulis bersyukur, isu penggunaan bahasa kebangsaan yang semakin dipinggirkan oleh rakyat sendiri mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, ketika merasmikan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Skudai, Johor, Perdana Menteri menegur agensi-agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana kurang menggunakan bahasa Melayu.

Malah beliau juga menyedari nama-nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk seolah-olah sudah menjadi lumrah tidak menggunakan bahasa Melayu, sebaliknya cenderung kepada bahasa Inggeris atau bahasa asing lain.

“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat bahasa melayu melainkan kita sendiri?” tegas beliau dalam ucapannya.

Penggunaan bahasa asing yang berleluasa dalam pengiklanan. – Gambar hiasan
Advertisements

Penulis amat berharap teguran Perdana Menteri ini dapat menyedarkan pihak-pihak yang sepatutnya memantau, menjaga dan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan digunakan bangun daripada tidur yang sudah berpanjangan.

Malah sudah lama penulis berharap adanya satu badan setanding suruhanjaya yang dapat mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar menggunakan bahasa kebangsaan, terutama dalam bidang komersial.

Sebagai contoh papan iklan tadi. Keputusan meluluskan penggunaan bahasa seharusnya diserahkan kepada pihak yang berwenang seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tapi malangnya DBP pada masa kini hanya sebagai badan penyemak penggunaan bahasa dan bukan pihak berkuasa yang boleh mengambil tindakan terhadap pesalah laku penggunaan bahasa kebangsaan.

Kuasa meluluskan penggunaan bahasa dalam papan iklan, iklan-iklan komersial, jenama perumahan, jenama produk, cop dagang dan lain-lain seharusnya dibuat oleh satu pihak berkuasa khas mengenai bahasa, bukannya PBT.

Ini kerana PBT tidak mempunyai kepakaran dalam bahasa sehingga mereka juga akhirnya terpaksa merujuk kepada DBP, dan proses itu sudah tentu memakan masa.

Atau jika amat sukar untuk menubuhkan suruhanjaya bahasa kebangsaan, sekurang-kurangnya meletakkan seorang ahli bahasa dalam setiap PBT di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya ahli-ahli bahasa ini bukan sahaja dapat menjadi pakar rujuk tetapi juga membuka peluang kepada graduan dalam bidang bahasa mendapatkan pekerjaan.

Kesimpulannya, bahasa adalah jiwa bangsa namun seandainya bangsa sendiri lebih berbangga dengan bahasa asing, apa lagi yang boleh menggambarkan bahawa kita adalah bangsa Keluarga Malaysia?

Fikir-fikirkanlah…

Lastik! – Lemah bahasa Inggeris

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan