25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Apa itu sekolah vernakular? Sejarahnya… (Bahagian 1)

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh: ANUAR AHMAD

ISU sekolah vernakular di negara ini tidak pernah selesai sejak tahun 1950. ‘Krisis’ pertama isu sekolah vernakular bermula ketika itu bila Barnes Report 1950 diwartakan untuk dilaksanakan di Malaya oleh pihak kolonial.

Sejak itu hinggalah ke hari ini isu sekolah vernakular sentiasa menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pembinaan sistem pendidikan kebangsaan.

Malah sering kali juga menjadi modal politik perkauman yang sangat menguntungkan ahli politik.

Sekolah vernakular ini apa sebenarnya?

Izin saya jelaskan. Insya-Allah semoga lebih mudah kita sama-sama faham selepas ini.

(1) Di dalam negara kita hanya ada dua aliran persekolahan. Pertama, aliran kebangsaan dan keduanya aliran persendirian. Semua sekolah yang di pangkalnya ada perkataan ‘kebangsaan’ maka itu adalah sekolah aliran kebangsaan. Maksudnya semua sekolah SK, SMK, SRJKC, SRJKT, SMJKC SMAK dan SMAP adalah sekolah aliran kebangsaan.

(2) Apakah ada dokumen hitam putih yang memisahkan sekolah kebangsaan dan sekolah persendirian?

Ada. Bermula dari Akta Pendidikan 1961 berasaskan Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Laporan Pelajaran Razak 1956 telah mewartakan apa itu sekolah aliran kebangsaan. Kemudian dikukuhkan lagi di bawah Akta Pendidikan 1996 untuk menjelaskan apa itu sekolah persendirian.

vernakular
Gambar hiasan: Kosmo!

(3) Aliran sekolah kebangsaan dah jelas, apa pula sekolah aliran persendirian ?

Semua sekolah yang ditubuhkan oleh individu, NGO atau syarikat swasta adalah tergolong dalam aliran sekolah persendirian. Sekolah antarabangsa, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina, sekolah agama/tahfiz persendirian dan sekolah pondok persendirian tergolong dalam aliran sekolah persendirian ini.

(4) Jadi sekolah persendirian yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu itulah sekolah vernakular?

Betul. Sekolah persendirian yang menggunakan bahasa pengantar selain bahasa Melayu inilah yang membawa maksud sekolah vernakular dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia. Sekolah vernakular adalah sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sesuatu kaum atau menggunakan bukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa urusan rasmi pentadbiran dan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sangat jelas perbezaan sekolah kebangsaan dengan sekolah vernakular.

(5) Adakah SJKC itu sekolah vernakular?

Tidak. SJKC adalah sekolah aliran kebangsaan dan bukan sekolah vernakular. Sekolah SJKC menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi di sekolah. Pentadbiran rasmi sekolah juga menggunakan bahasa Melayu.

Pelajar juga mengambil semua peperiksaan rasmi dalam bahasa Melayu serta persijilan awam (PT3 dan SPM) juga dalam bahasa Melayu. Oleh itu SJKC dan SJKT bukan sekolah vernakular.

Kebenaran bagi penggunaan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di mana-mana sekolah SJKC dan SJKT memang diperuntukkan di dalam Ordinan Pelajaran 1956, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Semua akta ini selari dengan Perkara 152(b)dan 152(c) Perlembagaan Persekutuan. Hanya kerana ramai pelajar Cina di sesebuah SJKC, atau nama sekolah SJKC itu menggunakan nama tokoh kaum Cina atau SJKC mengadakan banyak kelas bahasa Mandarin, itu semua tidak boleh digunakan sebagai asas untuk melabelkan sekolah itu adalah sekolah vernakular.

Yang penting SJKC dan SJKT apabila diiktiraf sebagai sekolah aliran kebangsaan, sekolah itu wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan menggunakan kurikulum kebangsaan sepenuhnya seperti mana sekolah kebangsaan yang lain di negara ini.

(6) Wujudkah sekolah persendirian yang dilabelkan vernakular di Malaysia?

Ya, memang wujud. Sekolah antarabangsa yang disediakan untuk anak anak ekspariat Barat yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya di negara ini adalah contoh terbaik sekolah persendirian/vernakular. Sekolah agama (kalau ada) yang menggunakan bahasa Arab sepenuhnya juga adalah contoh sekolah vernakular.

Sekolah persendirian Cina yang menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya dalam urusan pentadbiran, peperiksaan dan pengajaran adalah contoh sekolah vernakular. Jadi isu perbezaan sekolah kebangsaan dan sekolah persendirian/vernakular ini sudah jelas di negara ini. Malah sejak tahun 1996 lagi sudah ada akta pendidikan yang diperuntukkan berkaitan sekolah persendirian/ vernakular di negara ini.

Advertisements
Gambar hiasan: TallyPress

(7) Bolehkah sekolah aliran persendirian/vernakular bertukar menjadi sekolah aliran kebangsaan?

Boleh. Sejarah pendidikan negara kita telah membuktikan perkara ini pernah berlaku di Malaysia. Pada tahun 1961, pihak kerajaan melalui Menteri Pelajaran YB Abdul Rahman Talib dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Aminudin Baki pernah menawarkan kepada sekolah persendirian/vernakular Cina untuk menjadi sekolah aliran kebangsaan.

Hasilnya, 56 sekolah persendirian vernakular Cina bersetuju dan diiktiraf sebagai sekolah aliran kebangsaan. Manakala 60 buah sekolah persendirian vernakular Cina yang lain tidak menerima tawaran kerajaan dan mahu kekal sebagai sekolah persendirian vernakular Cina kerana mahu menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya dalam urusan pentadbiran, peperiksaan dan pengajaran.

Kekal mereka sebagai sekolah persendirian Cina hingga ke hari ini. Mereka inilah yang disokong kuat oleh Dong Zong sejak tahun 1975 untuk mendesak kerajaan mengiktiraf UEC. Sehingga hari ini kerajaan tetap bertegas tidak mengiktiraf UEC dan sekadar meluluskan pelaksanaan UEC sahaja pada 1975.

(8) Bolehkah kerajaan membiayai sekolah persendirian/vernakular sebagaimana sekolah aliran kebangsaan?

Tidak boleh secara tahunan sebagai dasar sedia ada tetapi boleh secara one off (bila-bila difikirkan sesuai dan ada keperluan awam). Misalnya sekolah persendirian ditimpa bencana (terbakar, banjir) maka kerajaan boleh berikan sumbangan. Atau sekolah persendirian perlukan dewan sekolah baru, kerajaan juga boleh memberikan sumbangan (musim kempen pilihanraya selalu diamalkan-sepatutnya tidak dilakukan atas tujuan meraih sokongan politik).

Tetapi sumbangan sebegini bukanlah diambil dari peruntukan belanjawan Kementerian Pelajaran yang telah dikhaskan untuk sekolah kebangsaan. Biasanya Kementerian Kewangan memberikan sejumlah sumbangan kepada beberapa sekolah persendirian Cina dari peruntukan Kementerian Kewangan. https://bit.ly/2zYtJFG

(9) Betulkah tidak ada peruntukan undang undang berkaitan sekolah persendirian/vernakular dalam Perlembagaan?

Betul, Memang tidak ada apa apa peruntukan undang undang berkaitan sekolah vernakular di dalam Perlembagaan Malaysia. Memang tidak ada dinyatakan secara bertulis. Dan tidak ada juga yang tertulis di dalam mana mana bahagian dalam Perlembagaan yang melarang kewujudan sekolah persendirian/vernakular atas tujuan perniagaan/kesukarelawan atau khidmat masyarakat.

Yang ditentukan secara bertulis ialah semua sekolah aliran kebangsaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Jika tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar maka itu tidak diiktiraf sebagai aliran sekolah kebangsaan.

Sebab itu, sijil UEC tidak diiktiraf sebagai sijil rasmi di negara kerana semua urusan rasmi pendidikan (termasuk peperiksaan dan persijilan) adalah di dalam bahasa kebangsaan sahaja.

(10) Baiklah, satu perkara lagi isu bahasa pengantar. Adakah semua sekolah aliran kebangsaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar?

Ya, wajib. Ini selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi termasuk urusan pentadbiran semua sekolah aliran kebangsaan (termasuk SJKC, SJKT dan SMJKC). Bagi proses pengajaran dan pembelajaran, penggunaan bahasa Mandarin, Tamil atau bahasa ibunda lain dibenarkan sebagaimana termaktub di dalam peruntukan Perlembagaan 152 (c). Ini cukup jelas.

ISU SEMASA…

Sebab itu, bila ada ahli politik atau ahli masyarakat mencadangkan supaya mansuhkan sahaja sekolah vernakular, adakah mereka mencadangkan supaya semua sekolah yang menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu dimansuhkan?

Jika begitu, bagaimana jika ada sekolah agama rakyat, tahfiz persendirian yang tidak menggunakan bahasa Melayu tetapi menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar? Apakah setuju dimansuhkan juga sebab statusnya sekolah persendirian vernakular?

Bagaimana pula dengan sekolah antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar? Apakah mereka juga mencadangkan semua sekolah antarabangsa yang bersifat vernakular kerana tidak menggunakan bahasa Melayu turut dimansuhkan?

Jika SJKC dan SRJKT sahaja dimansuhkan, mereka perlu faham bahawa SJKC dan SRJKT adalah sekolah yang telah pun berstatus aliran kebangsaan seperti diaktakan di bawah Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Sebagai rakyat, kita harus faham struktur persekolahan di negara kita sudah baik dan mantap. Memang kita amalkan kepelbagaian dalam sistem pendidikan kebangsaan tetapi semua sekolah aliran kebangsaan disatukan dengan bahasa pengantar dan kurikulum kebangsaan.

Walaupun ada di sana sini beberapa kelemahan yang perlu ditambah baik tapi janganlah kita terikut dengan gaya orang politik yang cuba meraih sokongan dengan cara ‘menakut-nakutkan’ kita dalam isu pendidikan untuk anak anak.

Mahu sekolah mana, itu pilihan ibubapa. Mahu aliran kebangsaan boleh, mahu sekolah aliran persendirian, pun boleh terserah. Sebab pada akhirnya semua inginkan sekolah yang berkualiti, dinamik dan cemerlang… bukan memilih sekolah berdasarkan aliran apa..

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sosiologi Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Artikel ini dipetik dari laman Facebook beliau.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan