25.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 18, 2021

COVID-19: Kapasiti hospital Lembah Klang hampir penuh

Must Read

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kadar penggunaan katil rawatan kritikal dan unit rawatan rapi COVID-19 di Lembah Klang secara keseluruhan telah mencapai 90 peratus pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik tersebut dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan.

Menurut beliau, sebanyak enam buah hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal / ICU dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 didapati telah melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus.

“Hospital-hospital tersebut adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

“Manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal / ICU COVID-19 pada kadar melebihi 50 peratus,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal / ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

Beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

“Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan COVID-19.

“Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit COVID-19,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.

Menurut beliau, langkah itu termasuk penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.

“Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun 2020 dan masih diteruskan sehingga kini.

“Sekiranya trend peningkatan kes COVID-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya,” katanya.

Dr Noor Hisham menyeru masyarakat untuk bersama-sama membantu Kementerian Kesihatan dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini,” jelasnya. – EDISI 9

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This