36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Malaysia kesal Belgium haram biobahan api minyak sawit

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Malaysia sebagai salah sebuah negara pengasas dan anggota Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) menyokong sepenuhnya tindakan badan itu mengemukakan bantahan kepada Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croomelalui surat bertarikh 24 Mei 2021 berhubung isu pengharaman penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di negara itu dalam tempoh terdekat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia turut menyatakan tindakan negara tersebut adalah susulan daripada pelaksanaan perundangan European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Eropah selepas tindakan yang sama dibuat oleh Perancis dan Lithuania.

Menurut beliau, sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia amat kecewa dengan tindakan yang dilaksanakan tanpa mengambil kira kesungguhan dan usaha negara ini dalam memastikan industri sawit dilaksanakan dengan mampan.

“Langkah Belgium jelas bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap produk sawit Malaysia.

“Walaupun jumlah eksport biobahan api berasaskan sawit tempatan ke Belgium adalah kecil, namun tindakan ini boleh mempengaruhi negara lain dan seterusnya memberikan imej negatif terhadap industri sawit negara.

“Dalam hal ini, Malaysia menyeru agar Belgium dan Kesatuan Eropah (EU) serta negara anggotanya melihat kesan sekatan ini dengan lebih objektif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin memberitahu, pada 15 Januari 2021, Malaysia telah memulakan tindakan undang-undang terhadap EU serta negara-negara anggotanya berkaitan pelaksanaan EU RED II dengan memfailkan permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah WTO.

Beliau menambah, proses tindakan undang-undang ini sedang berjalan dan mengikut prosedur yang digariskan oleh WTO.

“Malaysia sentiasa komited dalam memastikan industri sawit negara dilaksanakan secara mampan dan lestari selaras dengan kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang dibangunkan oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB).

“Komitmen ini dapat dilihat antaranya melalui pelaksanaan secara mandatori Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada masa ini,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan sentiasa mempertahankan kepentingan industri sawit negara demi kelangsungan dan sumbangannya kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia, khususnya kepada masyarakat luar bandar. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan