31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kawalan sempadan lebih ketat kekang COVID-19

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerajaan memperketatkan lagi kawalan keselamatan terutamanya di sempadan bagi mengelakkan pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh negara dan mengakibatkan penularan COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keselamatan adalah perkara utama yang tidak boleh dikompromi walau apa-apa juga keadaan.

Menurut beliau, dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semua pasukan keselamatan telah memperkemas operasi bersepadu bagi memperketat kawalan sempadan daripada dicerobohi oleh anasir-anasir asing.

“Sememangnya kawalan sempadan akan menjadi antara fokus kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus termasuk menggunakan peralatan yang berteknologi tinggi dan berbeza mengikut kesesuaian bentuk muka bumi di sempadan.

“Ini termasuklah penambahan pos-pos kawalan, pagar sempadan, CCTV, radar dan dron yang berkapasiti tinggi.

“Dimaklumkan bahawa pada ketika ini, semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan RELA giat melakukan rondaan dan kawalan di seluruh negara dengan tujuan utama adalah keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, langkah proaktif dibuat berasaskan kepada fakta dan maklumat terkini, malah sejak 18 Mei 2021, seramai 9,629 anggota keselamatan telah ditugaskan untuk melakukan rondaan, penguatkuasaan dan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Beliau menambah, daripada jumlah itu, seramai 5,460 orang adalah anggota PDRM, manakala selebihnya, 4,169 pula melibatkan ATM, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi-agensi lain.

“Tindakan keselamatan dan kawalan dilakukan menerusi sekatan jalan raya (SJR), OP BENTENG dan SJR bagi kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebelum ini, kerajaan juga telah membuat keputusan menyekat kemasukan sementara pengembara dari India, Sri Lanka, Nepal, Bangladesh dan Pakistan kerana bimbang jangkitan varian baharu dari negara itu akan menular ke negara ini dan tindakan ini dibuat dengan tegas melibatkan semua pihak.

“Kerajaan juga telah memperketatkan kemasukan rakyat Malaysia daripada negara-negara tersebut di pintu antarabangsa dengan menambah jumlah kuarantin daripada 14 hari kepada 21 hari,” jelasnya.

Ismail Sabri turut mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat berhubung tempoh kuarantin wajib terhadap warga asing yang tiba di Malaysia berikutan penularan variant of concern (VOC) dalam komuniti.

• Semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT PCR COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dan hanya keputusan ujian negatif boleh menaiki penerbangan untuk masuk ke Malaysia.

• Semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT PCR COVID-19 semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa.

• Tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan daripada 14 hari kepada 21 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

• Pelaksanaan arahan kuarantin wajib selama tempoh 21 hari ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia yang tiba dari INDIA ADALAH DIKEKALKAN.

• Tempoh kuarantin wajib dari SEMUA NEGARA LAIN dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan. Namun begitu, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang telah dijalankan pada hari ke-14. Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama.

• Ujian ulangan RT-PCR COVID-19 dilakukan pada hari ke-10. Sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR COVID-19 dibuat pada hari ke-18.

Pelaksanaan SOP lebih ketat itu akan berkuat kuasa serta-merta. – EDISI 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan