28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Baru suku pertama, defisit kerajaan sudah melambung

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bimbang dengan defisit kerajaan yang kini mencecah 44 peratus daripada jumlah RM84.8 bilion seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2021.

Menurut beliau, jumlah itu dicatatkan dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Sebagai perbandingan, Najib berkata, defisit keseluruhan tahun lalu adalah RM86.5 bilion manakala defisit RM51.5 bilion dicatatkan pada 2019.

“Jika trend defisit suku 1 diteruskan, defisit bagi keseluruhan tahun 2021 akan melepasi RM148 bilion (iaitu RM64 bilion lebih tinggi berbanding unjuran dalam bajet 2021) yang keseluruhannya akan dibiayai melalui penambahan hutang negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan menambah, hasil kerajaan suku pertama tahun 2021 sebanyak RM49.5 bilion pula di bawah unjuran dan hanya 21 peratus daripada andaian kerajaan bagi keseluruhan tahun 2021 sebanyak RM236.9 bilion.

Najib seterusnya mempersoalkan sama ada situasi itu berlaku akibat pelaburan asing tidak masuk semasa darurat.

“Sebab itu, ia penting bahawa perbelanjaan kerajaan dipantau dalam Parlimen tapi akta kewangan kerajaan digantung melalui Ordinan Darurat pulak.

“Akibatnya hasil kerajaan menjunam manakala perbelanjaan kerajaan dan defisit kerajaan pecah rekod pada ketika bantuan untuk rakyat bagi PKP 2.0 tak seberapa,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa suku kedua 2020 adalah antara suku tahun paling mencabar dalam sejarah Malaysia di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara merosot 17.1 peratus, iaitu kejatuhan paling tinggi dalam ASEAN.

Najib berkata, hasil kerajaan juga terjejas masa itu akibat kejatuhan teruk harga minyak, kejatuhan mendadak perbelanjaan rakyat dan penutupan hampir semua sektor perniagaan.

“Masa itu, PKP 1.0 yang sangat ketat dilaksanakan tetapi bantuan kerajaan kepada rakyat untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah paling tinggi.

“Sebab itu, saya amat hairan kenapa hasil kerajaan bagi suku pertama tahun 2021 adalah jauh lebih rendah dan perbelanjaan kerajaan adalah lebih tinggi berbanding suku kedua tahun 2020 memandangkan PKP 2.0 adalah separuh masak dengan banyak kelonggaran bagi sektor-sektor ekonomi, harga minyak telah memulih hampir tiga kali ganda dan bantuan bagi PKP 2.0 tidak seberapa.

“Akibatnya, defisit kerajaan bagi suku pertama tahun 2021 semasa darurat dilaksanakan adalah paling tinggi dalam sejarah Malaysia,” katanya. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan