26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

ATM pantau keselamatan siber tangani ancaman

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Aspek keselamatan dan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dipantau sepanjang masa bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat ditangani sewajarnya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, langkah itu diambil ekoran tular arahan dan langkah sewajarnya yang perlu diambil oleh pentadbir sistem siber Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) ATM dan Kementerian Pertahanan yang dikeluarkan oleh Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC).

Walau bagaimanapun, jelas beliau, arahan yang dikeluarkan itu adalah sebagai normal praktis kepada aspek peringatan, tindakan serta langkah-langkah sewajarnya yang perlu dilaksanakan oleh pentadbir sistem siber sebagai langkah menangani apa jua kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber dan ICT ATM serta Kementerian Pertahanan.

“Adalah ditegaskan bahawa ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta CDOC yang bukan sahaja memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, arahan yang terkandung dalam notis yang dikeluarkan oleh CDOC semalam adalah untuk edaran dalaman ATM sahaja.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan mempertingkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek berikutan wujud ancaman yang didakwan dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin-pemimpin pejuang Palestin di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Beliau memandang serius ancaman tersebut dan menyeru orang ramai agar bertenang kerana keselamatan negara adalah terkawal.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin-pemimpin pejuang Palestin yang berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

“KDN juga mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hamzah berkata, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada dalam negara.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan berada di tahap yang baik.

“Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Kenyataan KDN itu dikeluarkan susulan laporan media mendakwa kepimpinan Israel mengarahkan ejen perisikan negaranya iaitu Shin Bet dan Mossad untuk membunuh pegawai tertinggi Hamas di dalam dan luar negara.

Portal warnews247.gr melaporkan, ejen perisikan itu mensasarkan negara seperti Iran, Turki, Qatar dan Malaysia. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan