24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Malaysia kecewa Majlis Keselamatan PBB terus membisu

Mesti Baca

CYBERJAYA – Malaysia hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal mengutuk tindakan Israel dan menghentikan keganasan di Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, anggota majlis tersebut telah tiga kali bersidang minggu ini namun sehingga kini masih belum ada satu kenyataan yang dikeluarkan mengenai situasi semasa di Palestin.

“Atas sebab ketiadaan sebarang tindakan daripada Majlis Keselamatan PBB, Malaysia selaras dengan kenyataan bersama Brunei Darussalam dan Indonesia, mendesak Perhimpunan Agung PBB untuk segera mengadakan Sesi Khas bagi menghentikan konflik di Palestin.

“PBB perlu mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin menjelaskan, menerusi perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB secara sidang video (VTC) mengenai keadaan di Timur Tengah semalam, Malaysia telah menggesa majlis itu untuk melaksanakan tanggungjawab utamanya bagi memastikan situasi keselamatan dan keamanan di rantau tersebut.

Katanya, pihak Majlis Keselamatan PBB juga disaran untuk menggunakan mekanisma sedia ada bagi mengelakkan berlakunya kehilangan lebih banyak nyawa di Palestin.

Advertisements

Menurut beliau, Malaysia menekankan tiga perkara penting di VTC tersebut iaitu Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB.

Selain itu, Majlis Keselamatan PBB hendaklah tegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh regim Israel.

“Malaysia juga mahu Majlis Keselamatan PBB mengkaji semula cadangan yang terkandung dalam laporan Setiausaha Agung pada tahun 2018, A / ES-10/794, mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Hishammuddin sekali lagi menegaskan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Israel ke atas rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa.

Malaysia juga, tegas beliau, mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan berterusan oleh tentera Israel serta pengusiran rakyat Palestin yang menetap di kawasan Sheikh Jarrah dan Silwan di Baitulmaqdis.

“Malaysia tidak akan sesekali mengiktiraf tindakan pencerobohan dan rampasan tanah milik rakyat Palestin bagi tujuan perluasan penempatan haram mereka,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan