24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Korea Utara tarik diri Malaysia pula yang buat rayuan

Mesti Baca

CYBERJAYA – Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, surat tersebut bagi merayu kepada FIFA agar membuat ketetapan yang adil dan saksama kepada semua pasukan yang terlibat dalam saingan Pusingan 2 kejohanan tersebut.

Menurut beliau, penarikan diri Korea Utara membawa pelbagai kemungkinan termasuk pungutan mata ke atas pasukan tempat terakhir setiap kumpulan tidak akan dikira.

“Ini sekali gus menyukarkan perancangan serta peluang kebanyakan pasukan memandangkan Pusingan 2 itu sudah memasuki penghujung saingan dengan berbaki tiga atau empat perlawanan.

“Dalam surat rayuan tersebut, FAM menegaskan supaya FIFA perlu tampil dengan satu penyelesaian atau ketetapan yang saksama kepada semua pasukan dengan menitik beratkan semangat ‘Fair Play’ dan mengambil kira faktor integriti dalam sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini mengesahkan bahawa Korea Utara menarik diri daripada mengharungi baki kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Keputusan berkenaan dilakukan kerana bimbang para pemain serta pegawai pasukan dijangkiti wabak Covid-19.

Sementara itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menyerahkan kepada FIFA untuk membuat keputusan berhubung penarikan diri Korea Utara.

Advertisements

Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, laporan berhubung perkara berkenaan telah pun dihantar kepada FIFA untuk tindakan lanjut.

Katanya, laporan berkenaan kemudian akan melalui proses dalaman sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengelola Piala Dunia dan kemudiannya akan diputuskan FIFA selepas itu.

“Ada dua perkara yang harus dipertimbangkan oleh FIFA berhubung penarikan diri itu di mana mereka akan meneliti laporan yang diperolehi bagi menentukan sama ada penarikan diri itu munasabah, mengikuti protokol Covid-19 dan FIFA berpuas hati dengan penjelasan diberikan Korea Utara.

“Satu lagi bahagian, melibatkan apa akan jadi terjadi kepada perlawanan seterusnya dan juga perlawanan-perlawanan yang telah dimainkan oleh Korea Utara sebelum ini?” katanya.

Korea Utara berada dalam Kumpulan H bersama Sri Lanka, Korea Selatan, Turkmenistan dan Lubnan.

Pasukan itu mempunyai tiga bagi perlawanan Pusingan 2 berhadapan dengan Sri Lanka pada 3 Jun diikuti menentang Korea Selatan (7 Jun) serta Turkmenistan pada 15 Jun.

Setakat ini Korea Utara mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua kali seri dan tewas satu perlawanan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan